MENJELANG akhir bulan Oktober 2021, dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus jumlah penduduk keseluruhan akan mendapat dos lengkap suntikan vaksin.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin sasaran itu akan dapat dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini.
‘’Saya telah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) hari ini. Alhamdulillah, proses vaksinasi berjalan mengikut jadual setakat ini,’’ katanya melalui kenyataan dalam Facebook.
Beliau berkata, menjelang 31 Ogos 2021 pula, lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara kita dijangka telah menerima dos lengkap suntikan vaksin.
‘’Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, berdasarkan data terkini yang tersedia baik di negara kita atau negara luar, jumlah kes-kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.
‘’Insya-Allah, kita doakan agar negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera,’’ katanya.

