MENGHADAPI kejohanan besar dengan harapan tinggi untuk mencapai kemenangan bukanlah satu perkara mudah yang dihadapi oleh atlet negara.
Selain daripada kemampuan bakat dan persediaan rapi, kekuatan mental adalah perkara yang sering ditekankan kepada atlet-atlet bertaraf dunia untuk membolehkan mereka kekal tenang sebelum dan ketika kejohanan berlangsung.
Bagaimanapun, bagi pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang telah membawa pulang pingat Perak dalam kejohanan Olimpik Tokyo baru-baru ini, beliau mempunyai cara tersendiri untuk kekal tenang dan fokus dalam menghadapi kejohanan besar.
Katanya, menyertai sesebuah kejohanan dengan suatu tekanan yang besar bukan satu urusan yang mudah, apatah lagi apabila bertanding di temasya yang terbesar di dunia.
“Tidak kiralah kecil atau besar sesebuah kejohanan itu, tetapi apabila kita menggalas sesebuah harapan besar yang diberikan, ianya umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan kita yang kita bawa kemana-mana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata ramai yang bertanya apakah rahsia dirinya kekal tenang menghadapi situasi-situasi yang ekstrem iaitu mengendalikan tekanan ketika bertanding.
BERITA BERKAITAN “Saya pun tak tahu apa dia cuba buat” komen Azizul dengan ‘taktikal’ pelik pelumba Australia
“Jawapan saya adalah al-Quran. Ketika kem latihan di Nilai, saya dah mulakan misi membaca al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan,” katanya berkongsi rahsia tersebut.
Bagaimanapun, katanya, kadang kala disebabkan latihan yang sangat teruk ditambah dengan kesibukan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan.
“Tetapi selepas tamat saja kem latihan dan terbang ke Tokyo ianya memberikan saya lebih banyak ruang untuk memberikan tumpuan kepada bacaan.
“Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Separuh perjalanan saya luangkan dengan bacaan. Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan Tokyo digunakan untuk membaca al-Quran walaupun banyak dugaan yang bertujuan mematahkan semangat untuk meneruskan bacaan.
“Sebab tu bila kita baca Al-Quran di bulan Ramadhan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan.
“Waktu saya baca Al-Quran tu, seolah-olah saya berada di dunia vakum (vacuum). Bukan vakum yang korang sedut debu-debu karpet dekat rumah korang tu, tetapi dunia vakum yang dikenali sebagai hampagas dalam hukum fizik,” katanya.
Katanya, keseronokan apabila dia membaca al-Quran, seolah-olah berada dalam dunia atau dimensi berbeza yag tersendiri dan dapat melupakan kepenatan dari latihan, tekanan yang dihadapi dan juga segala macam masalah duniawi yang menggangu minda.
“Tenang. Bukan mudah untuk tenang apabila kejohanan terbesar dalam karier kita hanya ada beberapa hari saja lagi. Tapi sumpah tak tipu, memang dengan bacaan Al-Quran ni membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora.
“Syukur, kepada Allah SWT saya dapat khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum saya memulakan perlumbaan acara Keirin.
“Sejurus selepas khatam tu, saya terus bernazar kepada Allah SWT dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepadaNya kerana Dia lah Al-‘Alim, Allah yang Maha mengetahui segalanya,” katanya. – UtusanTV

