SEBANYAK 11 lagi lokaliti di Sabah dan Pahang akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.
Pelaksanaan PKPD di 11 lagi lokaliti itu menyusuli tujuh kawasan dalam dua negeri berkenaan yang telah pun dikuatkuasakan PKPD mulai esok.
PKPD di 11 lokaliti terbaharu itu akan dilaksanakan bermula Khamis ini selama dua minggu.
Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.
Keputusan melaksanakan PKPD di tujuh lokaliti dalam dua negeri itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
Rodzi berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua 11 lokaliti itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu sehingga 1 September depan.

Menurut Rodzi, sebanyak sembilan lokaliti yang dikenakan PKPD terletak di Sabah termasuk dua kawasan di Kota Belud iaitu Kampung Kuala Abai dan Kampung Payas-Payas.
Baca artikel berkaitan: Tujuh lokaliti di Sabah, Pahang kena PKPD mulai Rabu

Kata beliau, dua lagi melibatkan kawasan di daerah Penampang iaitu Beverly Hills Fasa 3 dan Regency Park.
Beliau berkata, kawasan Sipitang turut terlibat dalam pelaksanaan itu melibatkan Kampung Iburu dan Kampung Meligan.
“Selain itu, tiga lagi lokaliti yang dikenakan PKPD melibatkan kawasan dalam daerah Tawau, Lahad Datu dan Beluran.

“PKPD di Tawau terletak di Taman Ria Height; di Lahad Datu melibatkan Kompleks Baiduri Ayu, Felda Sahabat 9 dan Perumahan Pekerja Ladang Moynod 1 di Beluran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rodzi berkata, dua kawasan yang terletak di Pahang melibatkan dalam daerah di Temerloh dan Lipis.
“Kawasan itu melibatkan Felda Jenderak Utara, Kuala Krau dan Ladang Selbourne, mukim Gua, Lipis,” jelas beliau.
Satu lagi kawasan di Raub, Pahang yang sepatutnya tamat PKPD esok iaitu Felda Tersang 1, 2 dan 3 dilanjutkan sehingga 25 Ogos.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

