PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat konsensus di antara pemimpin parti untuk ‘menghentikan politik lama’ dan mewujudkan satu bentuk suasana politik baru yang lebih aman dan harmoni untuk rakyat.
Presiden PKR itu berkata, konsensus itu dicapai oleh pemimpin-pemimpin parti politik hari ini yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, pertemuan itu bukan sahaja membincangkan isu pelantikan perdana menteri baharu tetapi apa yang lebih penting ditekankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalan adalah untuk membentuk satu bentuk politik baru yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Secara umumnya mereka berbincang dan pemimpin parti-parti itu semuanya bersetuju agar perlu ada satu persefahaman atau konsensus untuk menghentikan politik lama yang melelahkan dan membosankan dengan cara pelanggaran peraturan, hukum dan lain-lain.
“Kita semua harus menumpukan semula ke arah pembangunan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
BERITA BERKAITAN Pemimpin parti dipanggil menghadap Agong esok, proses pencarian PM9 bermula
Katanya, dalam pertemuan hari ini, kedua-dua Seri Paduka Baginda telah bertitah memberi kata-kata nasihat dan peringatan mengenai kedudukan negara yang sedang dilanda kemelut politik dan menghadapi situasi COVID-19 serta ekonomi tidak menentu.
“Yang di-Pertuan Agong memberi tahu, kita perlu mengikut lunas-lunas perlembagaan dengan mencari calon Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoiriti di Parlimen untuk menjadi perdana menteri yang baharu.

“Tetapi bentuk politik juga kena berubah, maknanya (sesiapa) yang menang itu (dipilih menjadi Perdana Menteri), janganlah mengamal politik lama seperti menekan kepada mereka yang kalah,” katanya
Beliau berkata, pemimpin parti politik perlu ada satu garapan bagi membentuk kekuatan semua parti dengan semangat persefahaman baru, muafakat baru dan bekerjasama untuk menangani masalah COVID-19 dan mengangkat semula ekonomi.
Beberapa kenderaan yang membawa pemimpin parti UMNO, Pas, PKR, DAP, Amanah, Bersatu, Pejuang dan Warisan dilihat memasuki Istana Negara hari ini. – UtusanTV



