SERAMAI 7,599 petugas kesihatan dikesan telah dijangkiti COVID-19 hasil daripada saringan berkala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah tersebut adalah 3.05 peratus daripada 248,874 petugas kesihatan yang telah mendapat menerima dua dos vaksin.
Kata beliau, daripada jumlah itu, majoriti yang dikesan dijangkiti COVID-19 adalah sama ada tiada gejala atau bergejala ringan.
Dr. Noor Hisham memaklumkan, 2,447 individu atau 32.2 peratus dikesan tidak mempunyai gejala manakala 5,135 atau 67.6 peratus hanya bergejala ringan.
“Hanya 17 kes atau 0.22 peratus sahaja berada dalam kategori 3 hingga 5 iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen atau perlu dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU).
“Dimaklumkan juga dua kes kematian di kategori 5.
Baca artikel berkaitan: 98.5 peratus kes kategori 1 dan 2, Kelantan lapor 13 kluster, 10 komuniti

“Vaksin hanya mengurangkan keparahan dan mengurangkan kematian. Bukan sifarkan keparahan atau kematian. Tiada vaksin yang berkesan 100 peratus,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Semalam, sebanyak 19,740 kes baharu COVID-19 telah dilaporkan, turun lebih 800 kes berbanding hari sebelumnya.
Jumlah tersebut juga menjadikan sembilan negeri mencatatkan kes empat angka melebihi 1,000.
Menjadi perhatian, Selangor yang mencatatkan 5,706 kes manakala Kuala Lumpur, 1360 kes – jumlah yang lebih rendah berbanding beberapa minggu lalu.
Tertinggi selepas Selangor ialah Sabah dengan 1,728 kes; Kedah (1,592); Sarawak (1,566); dan Johor (1,510).
Negeri lain yang turut mencatatkan penularan lebih 1,000 ialah Pulau Pinang (1,251); Kelantan (1,227); dan Melaka (1,120).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

