MALAYSIA menerima pengiktirafan di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026 apabila tiga inisiatif yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dinamakan sebagai ‘Champion Project’.
WSIS Prizes dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan antara pengiktirafan paling berprestij di dunia.
Bagi edisi 2026, pertandingan ini menerima 1,595 penyertaan daripada 122 negara serta lebih 2.2 juta undian, sekali gus mencerminkan tahap daya saing pengiktirafan tersebut di peringkat antarabangsa.
Tiga inisiatif MCMC yang menerima pengiktirafan adalah AL C1 – Peranan Kerajaan dan Semua Pihak Berkepentingan dalam Menggalakkan ICT untuk Pembangunan: ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform.
AL C6 – Persekitaran yang Membolehkan: Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five-Year Plan 2030 (FYP2030) dan AL C9 – Media: Portal Sebenarnya.my.
Dibangunkan MCMC melalui rundingan bersama anggota ASEAN, pihak industri dan pakar serantau, ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform meletakkan Malaysia sebagai peneraju pemikiran serantau bagi ekonomi 5G.
Rangka kerja ini yang telah diperakukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) di Hanoi, Vietnam mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi serta 12 jurang kemahiran keutamaan dalam ekosistem 5G.
Inisiatif ini mewujudkan bahasa kemahiran bersama yang menyokong mobiliti tenaga kerja, pembangunan industri serta pelaburan masa hadapan di seluruh ASEAN.
Pengiktirafan terhadap Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s FiveYear Plan 2030 (FYP2030) pula mengiktiraf usaha Malaysia dalam menyediakan ekosistem komunikasi dan multimedia negara yang bersedia menghadapi generasi teknologi digital seterusnya.
Manakala, Sebenarnya.my, portal semakan fakta dan pengesahan rasmi Malaysia yang dibangunkan oleh MCMC, diiktiraf atas sumbangannya dalam membanteras penyebaran maklumat palsu dan memperluas akses kepada maklumat yang sahih.
Pengiktirafan ini menandakan empat tahun berturut-turut inisiatif digital Malaysia menerima pengiktirafan di pentas WSIS, sekali gus membuktikan keupayaan dalam membangunkan penyelesaian digital yang memberi impak kepada masyarakat.
Pencapaian ini menyusuli pengiktirafan terhadap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Stingray II pada tahun 2025, Program Advokasi dan Jangkauan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan pada tahun 2024 serta JENDELA pada tahun 2023.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

