Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan satu pertemuan khas dengan Raja-Raja Melayu Jumaat ini bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara tersebut hari ini.

“Benar, hari ini akan keluarkan kenyataan selepas jam 12 tengah hari, Insya-Allah,” katanya kepada Berita Harian.

Hari ini The Star melaporkan bahawa Raja-Raja Melayu akan bersidang Jumaat ini, untuk membincangkan keputusan 220 anggota parlimen dalam memilih perdana menteri .

Kesemua Ahli Parlimen telah diminta mengemukakan surat akuan mempunyai cadangan nama calon perdana menteri masing-masing sebelum pukul 4 petang ini untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Surat akuan berkenaan mesti mempunyai butiran-butiran termasuk identifikasi ahli Dewan Rakyat; identifikasi seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan; pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat serta tandatangan Ahli Dewan Rakyat terbabit.

Selain itu, surat tersebut juga mesti mempunyai tandatangan serta cop rasmi saksi iaitu sama ada peguambela dan peguamcara; pesuruhjaya sumpah; notari awam atau jawatan yang setanding bagi yang berhormat yang berada di luar negara serta tarikh surat akuan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemimpin parti politik termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Yang turut hadir menghadap Seri Paduka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Antara titah baginda adalah supaya semua parti politik bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.