Pennie Lim (duduk tengah) bersama pasukan HOMA.

HOMA2U (HOMA), pusat pasaran ‘dalam dan luar talian’ (O2O) bagi bahan-bahan binaan dan produk hiasan dalaman rumah hari ini mengumumkan berjaya memperoleh satu siri pembiayaan termasuk dari Warisan Quantum Management, syarikat pengurusan dana ekuiti swasta berpangkalan di Kuala Lumpur.

Jumlah dana yang dikumpulkan berjumlah RM2.4 juta (AS$ 567,000). Sebelum itu, ScaleUp Malaysia dengan rakan pelaburan Quest Ventures Pte Ltd melabur melalui program ScaleUp Malaysia Accelerator, yang mana HOMA adalah salah satu daripada 10 syarikat permulaan teratas dari kumpulan Cohort 2.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas HOMA, Pennie Lim berkata, sebagai platform yang membangunkan produk daripada bahan-bahan lebihan tapak pembinaan pertama di Malaysia untuk hiasan kediaman, HOMA memberi keutamaan kepada faktor kelestarian dalam operasi perniagaan yang mengurangkan impak alam sekitar.

Pennie Lim (kiri) dan Joehary Ismail

“Kelestarian telah menjadi trend dalam hiasan dalaman dan reka bentuk pengubahsuaian rumah. Apabila mempertimbangkan kelestarian, barangan yang menjadi trend tidak semestinya bergantung kepada apa yang bergaya, ia juga seharusnya mempunyai ciri-ciri terbaik untuk alam sekitar.

“Dengan memperjuangkan gagasan mengurang, mengguna dan mengubah semula, strategi kami merangkumi memperoleh bahan binaan dan produk hiasan dalaman dari bahan-bahan binaan yang tidak digunakan, dibuang atau stok lebihan industri pembinaan, ” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

BERITA BERKAITAN Program E-Board INSKEN tingkat jualan perniagaan melebihi 30 peratus. Ada usahawan capai hingga 4,000 peratus!

Beliau berkata, ketika pandemik melanda, syarikat telah mengubah sedikit konsep perniagaan dengan lebih menumpukan kepada memberi perkhidmatan dan membina ekosistem, daripada hanya mengambil pendekatan yang berasaskan kepada jualan produk sahaja seperti sebelum ini.

“Dengan pengumpulan dana yang utuh, kami dapat berusaha untuk membangun dan memperluas lebih banyak aliran pendapatan untuk terus bertahan dengan tidak hanya bergantung kepada keuntungan jualan produk. Salah satu strategi utama kami yang telah dilaksanakan adalah mendekati lebih banyak pelanggan melalui konsep premis bergerak Yellow Box HOMA,” katanya.

Premis bergerak Yellow Box HOMA

Penni berkata, dalam persekitaran pandemik hari ini, masyarakat lebih banyak membuat pesanan barangan dan perkhidmatan pembaikan dan hiasan dalaman dari rumah, berbanding mengunjungi kedai seperti biasa

“HOMA yang telah menjalankan perniagaan sejak 2017 memahami mengenai keperluan untuk merancang strategi yang memberi fokus kepada pengalaman pelanggan membeli-belah berasaskan kepada unsur-unsur sentuhan dan penampilan yang akan mempengaruhi keputusan pembelian.

“Dengan pemahaman tersebut, HOMA kini berusaha untuk membina lebih banyak premis bergerak seperti Yellow Box untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam dan luar talian serentak,” katanya.

Beliau berkata, syarikat merancang untuk memperluaskan konsep kedai Yellow Box kesepuluh lokasi seluruh negara bertujuan membawa produk-produk lebih dekat kepada pelanggan.

Ia akan menempatkan gerai bergerak itu di kawasan kedai rakan perniagaan seperti kedai perabot dan perkakasan rumah yang boleh membawa sehingga 1,000 jenis sampel produk Unit Simpanan Stok (SKU).

Dengan teknologi QR Code yang memberikan kod unik kepada pelanggan sebagai kunci untuk memasuki Yellow Box, pelanggan akan dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang menarik dengan HOMA.

Mengulas mengenai pelaburannya di HOMA, Pengarah Urusan Warisan Quantum Management, Joehary Ismail berkata, pelaburan mereka adalah sebagai pengesahan lanjut mengenai nilai luar biasa yang diciptakan oleh HOMA dalam industri tersebut.

“Kami kagum dengan fokus yang diberikan mereka dalam memastikan nilai impak, di samping melaksanakan cara perniagaan yang inovatif. HOMA telah bersungguh-sungguh dan mengambil pendekatan strategik dalam usaha berkembang perniagaan ke seluruh negara dan kami yakin bahawa mereka akan mampu berkembang dengan lebih pesat, termasuk ke luar negara apabila tiba masanya,” katanya.

“Kami sangat berbangga dengan Pennie dan pasukannya di Homa. Kesungguhan dan visi mereka dalam membangunkan perniagaan yang berfokus pada kelestarian jelas sejak awal lagi. Kami bangga dapat bersama mereka yang berjaya membina pasar O2O yang terkemuka untuk bahan binaan dan perabot rumah,” kata Managing Partner ScaleUp Malaysia, Xelia Tong.

HOMA merupakan Alumni Program Coach & Grow Cradle Fund Cohort Batch 5 (CGP5) dan merupakan pemiliknya merupakan calon untuk Anugerah Usahawan Wanita Tahun Ini untuk Cohort CGP5.

HOMA juga merupakan Alumni Program Accelerator Selangor SITEC yang berjaya menduduki Lima Tempat Teratas Cohort 1 (memenangi hadiah wang tunai RM6,000) dan menjadi 10 peserta akhir dalam pertandingan Junior Chamber International Creative Young Entrepreneur Award (JCI CYEA) pada 2019. – UtusanTV