Program E-Board INSKEN tingkat jualan perniagaan melebihi 30 peratus. Ada usahawan capai hingga 4,000 peratus!

0
93
insken
Antara peserta yang mengikuti Program E-Board anjuran INSKEN

INSTITUT Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) sekali lagi merekodkan kecemerlangan melalui Program Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) Kohort 2 dengan pencapaian 32.70 peratus purata peningkatan jualan dalam kalangan peserta.

Seramai 208 usahawan yang menyertai program itu berjaya menamatkan program bimbingan selama empat bulan dan diraikan hari ini melalui Majlis Graduasi Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) Kohort 2 tahun 2020.

Pencapaian paling memberangsangkan yang dicatat adalah peningkatan jualan 4,467.25 peratus oleh seorang usahawan daripada industri pembuatan dan pertukangan.

Manakala 40 peratus daripada 208 peserta E-Board Kohort 2 ini telah mencapai sasaran minima peningkatan jualan iaitu sebanyak 20 peratus.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keberkesanan program seumpama itu membuktikan bahawa penggunaan platform digital dalam perniagaan amat penting serta menjadi keperluan untuk usahawan.

“Justeru, usahawan digesa untuk beralih ke arah ekonomi digital dan segera mendapatkan bantuan dari agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi seperti INSKEN yang menawarkan pelbagai program latihan serta bimbingan khususnya bagi topik pendigitalan,” katanya.

Katanya, kejayaan-kejayaan yang dicipta oleh usahawan melalui program E-Board itu perlu dijadikan sumber inspirasi buat usahawan lain untuk berubah ke tahap yang lebih baik dan meningkatkan daya tahan di dalam industri perniagaan yang kian mencabar.

Sebagai contoh, Nur Liyana Che Md Azim merupakan pemilik Dr. Kayu Network yang hampir berputus asa dan berhasrat untuk menutup perniagaannya akibat terkesan oleh pandemik COVID-19.

Namun, hasratnya terbatal apabila peningkatan jualan terhasil selepas program E-Board anjuran INSKEN dan lebih menggembirakan apabila syariatnya turut mencatatkan peningkatan jualan tertinggi daripada jualan hanya tiga angka kepada lima angka atau 4,467.25% lonjakan selepas tamat program.

Selain itu, usahawan yang menjual produk buatan kayu seperti jam dinding ini turut menambah tiga buah mesin baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat selepas produknya dipasarkan melalui platform Facebook.

Lanjutan itu, menurut pemilik Harfina Services, Muhammad Hariz yang merupakan usahawan dalam industri percetakan, beliau mula menerima lebih banyak permintaan melalui WhatsApp setelah mengikuti program E-Board.

Di penghujung bulan Februari 2021, peningkatan jualan sebanyak 1,730.14% telah berjaya dicipta dan sekaligus menjadikan purata hasil jualan bulanan meningkat kepada ribuan ringgit.

Muhd Firdaus Azharuddin

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin turut menyatakan bahawa lebih banyak usahawan akan dibantu serta diberi bimbingan komprehensif untuk meningkatkan jualan melalui platform digital.

“Namun tanggungjawab ini perlu digalas oleh kedua-dua pihak iaitu INSKEN dan usahawan sendiri yang perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam membuat transformasi perniagaan,” katanya.

Program E-Board Kohort 2 yang dilaksanakan dari November 2020 sehingga Februari 2021 tersebut telah mendapat penyertaan tinggi dari usahawan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Terdapat seramai 80 individu peserta lelaki dan 128 wanita dari dua industri iaitu perkhidmatan dan pembuatan.

Inisiatif penganjuran program E-Board adalah sejajar dengan saranan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan memberi fokus untuk memperkukuhkan kemampuan dan kapasiti usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam pengunaan platform secara atas talian.

Turut hadir ketika Majlis Graduasi Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) Kohort 2 tahun 2020 adalah Mas Ermieyati dan Muhd Firdaus.

Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) merupakan sebuah inisiatif untuk melatih serta membimbing usahawan menggunakan platform atas talian (online) dan e-dagang (e-commerce) dalam menjual dan memasarkan produk serta perkhidmatan.

Program selama empat bulan itu menggunakan kaedah ‘technical training-intensive coaching’ oleh pakar jurulatih pendigitalan (digital trainer) dalam platform-platform atas talian yang telah ditetapkan melalui bimbingan secara ‘hand-holding.’

Tujuh platform yang disediakan adalah Facebook, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram dan bagi tahun 2021, penambahan platform Shopee dan Lazada.

Kohort 3 dan 4 program ini sedang dijalankan dan 200 usahawan dilatih untuk meningkatkan hasil jualan melalui platform secara atas talian.

Manakala kohort 5 program ini telah dibuka untuk pendaftaran dan maklumat lanjut mengenai program latihan keusahawanan itu boleh didapati melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my. – UtusanTV