KOTA kuno Ebla, lokasinya di pertengahan antara sungai Furat dan Mediterranean. Tell Mardikh merupakan tapak arkeologi Ebla, di mana ribuan tablet dan inskripsi tamadun Ebla telah ditemui.
Sewaktu ekskavasi untuk mencari bukti peradaban purba Ebla pada tahun 1975, seorang ahli arkeologi dari Universiti Rom, Profesor Paolo Matthiae telah menemui sejumlah batu bersurat yang terukir nama beberapa tokoh Nabi yang terkenal dalam sejarah Islam.

Apa yang menghairankan ialah, naskhah tersebut berusia 1500 tahun lebih tua daripada kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s.
Berdasarkan artifak-artifak yang ditemui, dipercayai tamadun Ebla merupakan sebuah peradaban manusia yang wujud sekitar tahun 2500 sebelum Masihi. Empayarnya meliputi sebahagian besar negara Syria sehingga ke daerah tenggara Turki.

Bukti-bukti penemuan juga menunjukkan bahawa kota purba Ebla ini pada zaman kegemilangannya merupakan sebuah kerajaan yang maju dan sistematik.
Mereka memiliki catatan lengkap tentang pentadbiran, mendirikan perpustakaan, membina monumen-monumen penting serta merekodkan segala perjanjian perniagaan. Bahasa rasmi yang digunakan pula ialah bahasa Eblaite.
Ketika era kegemilangannya, tamadun kuno ini dikenali sebagai pusat perdagangan dan pengembangan kebudayaan yang maju.
Namun, seperti mana krisis yang telah menimpa banyak peradaban besar lain, Ebla juga mengalaminya lalu lupus ditelan zaman.
Kajian arkeologi tamadun Ebla ini bukan saja menarik dengan penemuan hampir 20,000 naskhah batu bersurat yang sarat dengan ukiran tulisan Eblaite.
Setelah diamati dan diterjemahkan oleh pakar bahasa dari Itali, Dr. Giovanni Pettinato, beliau mendapati naskhah tersebut mengandungi fakta-fakta penting tentang beberapa perkara yang berlaku pada zaman tersebut, termasuk catatan mengenai tiga tokoh Nabi umat Islam iaitu Ibrahim, Ismail dan Daud.

Menurut Dr. Clifford Wilson dari Universiti Monash, Australia, nama-nama Nabi yang tertera pada batu bersurat Ebla itu memiliki nilai yang sangat penting. Informasi yang menceritakan tentang suatu zaman kira-kira 1500 tahun sebelum turunnya Taurat, sudah pasti mengundang persoalan dan menimbulkan keterujaan banyak pihak.
David Noel Freedman, seorang ahli arkeologi dan pengkaji dari Amerika Syarikat pula menyatakan penemuan nama Nabi Ibrahim pada batu bersurat itu menunjukkan bahawa, Ibrahim dan agama yang dibawa olehnya telah pun wujud lebih awal sebelum kelahiran Nabi Musa.

Selain nama Nabi Ibrahim, Ismail dan Daud, batu bersurat itu turut mencatatkan beberapa lokasi penting dalam sejarah seperti Sinai, Gaza dan Jerussalam yang terletak tidak jauh daripada kota purba Ebla.
Ini menunjukkan bahawa rakyat tamadun Ebla mempunyai hubungan yang rapat dengan penduduk di lokasi berkenaan. Berkemungkinan besar ia berkaitan dengan transaksi perdagangan yang dijalankan serta aktiviti kebudayaan kedua-dua belah pihak.

Selain itu, beberapa wilayah lain yang turut tercatat di dalam batu bersurat tersebut ialah Sodom dan Gomorrah, tempat di mana terkuburnya kaum Nabi Luth a.s.
Ia adalah wilayah di pesisir pantai Laut Mati yang mana merupakan sebuah lokasi Luth mendakwahkan wahyu yang diterimanya dan menyeru kaum beliau untuk hidup berlandaskan ajaran agama.
Kesemua catatan-catatan ini telah menjadi bukti bertulis bahawa wilayah-wilayah yang disebutkan pernah dijejaki oleh para Nabi untuk mengembangkan dakwah mereka.

____________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

