KONTROVERSI membabitkan pemberian dana oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) membabitkan surat tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) yang diumumkan penghujung Jun lalu terus berpanjangan.
Sebelum ini, penerbit dan pengarah, Asri Alias pernah menyuarakan kekecewaan berhubung pemberian dana yang didakwa berat sebelah dan tidak telus.
Beliau turut mendakwa berlakunya amalan kronisme melibatkan proses pemilihan syarikat yang berhak menerima dana berkenaan.
Namun begitu, dakwaan terus dinafikan Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid awal bulan lalu yang mengatakan pengagihan dana DKD bernilai RM46.99 juta kepada 81 syarikat dilakukan secara telus.
Zakaria turut menerangkan pemberian kepada 81 syarikat yang layak dan berjaya dalam sesi pemakluman yang diadakan secara maya dikendalikan sepenuhnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan Finas tidak terlibat dalam proses berkenaan.
Susulan kenyataan tersebut dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Asri telah membuat laporan polis pada 29 Julai lalu diikuti laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat lalu.
Ini selepas, kata beliau, hasil selidik yang dilakukannya mendapati wujudnya konflik kepentingan apabila ada syarikat penerbitan yang dianggotai dua pengarah yang mempunyai pertalian darah dengan kepemimpinan tertinggi Finas turut berjaya memperoleh dana tersebut.
Baca artikel berkaitan: Pengerusi FINAS positif Covid-19
Menurut Asri, ia juga bertentangan dengan kenyataan Zakaria dalam portal berita bahawa pemohon yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ahli perbadanan tidak layak memohon DKD.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, penyelewengan juga berlaku menerusi pengumuman Dana Pelaksana Fasa 1 yang melibatkan dana bernilai RM13.381 juta kepada 99 syarikat pada 24 November 2020.
“Merujuk kepada senarai yang diumumkan, saya mendapati ada dua syarikat merupakan sekutu kepada dua ahli perbadanan.
“Untuk makluman, Pengerusi Finas (Zakaria) serta semua Ahli Perbadanan termasuk kedua-dua ini telah dilantik ke jawatan itu pada Mei 2020.
“Saya telah membuat laporan polis dan SPRM berdasarkan rujukan dan penelitian melalui Akta 694 SPRM 2009 mengikut Seksyen 3, 23 dan 50 (1) serta Seksyen 12 Akta 244 Finas 1981,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Asri berkata, Finas sepatutnya benar-benar telus berhubung pemberian dana berkenaan dengan menyatakan maklumat terperinci jenis perolehan yang diterima.
“Tujuan saya tampil membuat laporan polis dan SPRM ini kerana ini adalah duit rakyat, jika tak berlakunya kronisme seperti dikatakan Pengerusi Finas, saya sangkal kerana data-data ini jelas membuktikannya.
“Kalau ini berlaku, amat malang bagi industri kreatif terutama filem dan drama kerana dana itu semua adalah duit rakyat. Apa gunanya kita melaungkan ketelusan tetapi bertindak sebaliknya,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

