“TUNGGU pengumuman,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan media berhubung senarai nama anggota Kabinet di bawah pentadbirannya.
Menurut Ahli Parlimen Bera itu, barisan Jemaah Menteri yang baharu akan diketahui dalam minggu ini selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri menjelaskan, perbincangan mengenai pembentukan Jemaah Menteri sedang dilakukan sebelum senarai anggota Kabinet dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan hari ini.
Dalam lawatan itu, Ismail Sabri meninjau kawasan yang terlibat dengan bencana fenomena kepala air Rabu lalu dan juga melihat kawasan pencarian mangsa.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Perdana Menteri juga memaklumkan Ahli Parlimen pembangkang tidak akan dilantik ke dalam Kabinet yang bakal diumumkan minggu ini.
“Tidak ada ada kerajaan perpaduan libatkan pemimpin parti pembangkang dalam Kabinet.
“Kerjasama bukan mesti mereka dalam Kabinet. Kalau betul-betul nak membantu tangani COVID-19, kita ada Jawatankuasa Khas dan mereka boleh ada bersama memberi idea/
“Begitu juga untuk pemulihan ekonomi, ada Majlis Pemulihan Negara. Mereka juga dijemput sama,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai berita yang tular tentang senarai nama jemaah menteri, Ismail Sabri meminta orang ramai supaya tidak mempercayainya kerana ia adalah palsu.
“Jangan percaya, banyak sangat keluar nama-nama menteri… setiap hari ada senarai baharu. Tetapi bagus juga kerana ia boleh membantu saya untuk melihatnya,” katanya secara berseloroh.
Baca artikel berkaitan: Kepala air: PM umum bantuan segera RM75 juta kepada Kedah
Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Ismail Sabri melahirkan rasa sedih dan hiba melihat keadaan 1,856 kediaman dan premis perniagaan yang musnah dan terjejas teruk akibat bencana alam ini.
“Banjir buruk yang berlaku telah meragut enam nyawa dan ketika saya berada di Titi Hayun, mayat mangsa keenam yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai ditemui pasukan penyelamat.
“Al Fatihah kepada mangsa-mangsa yang terkorban. Semoga keluarga mereka tabah menghadapi ujian ini.,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

