HAMPIR 700,000 pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang memegang akaun kanak-kanak tetapi telah melebihi umur 18 tahun masih belum menukarkan status kepada akaun dewasa.
Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad menyarankan supaya semua pendeposit yang belum menukar status supaya segera berbuat demikian.
Kata beliau, pemegang akaun kanak-kanak yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing dengan sendirinya bermula 1 Disember 2021.
Beliau berkata, akaun tersebut akan dibekukan daripada melakukan sebarang transaksi pengeluaran selain status link akaun di antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal.
“Pada masa sama, pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan.
“Walau bagaimanapun, akaun tersebut masih boleh menerima transaksi simpanan daripada semua saluran yang disediakan TH termasuk di platform JomPay dan THiJARI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Keuntungan bersih suku kedua TH Plantation meningkat 144 peratus
Mengulas lanjut, Mustakim menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan bagi anak berumur 18 tahun ke tas untuk datang bersama anak ke cawangan TH berdekatan.
Katanya, ia bagi proses penukaran status ke akaun dewasa supaya tidak timbul kesulitan pada masa akan datang.
Menurut Mustakim, TH mengambil langkah berkenaan bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit dikemaskini.
“Selain itu, adalah penting supaya pendeposit memastikan akaun TH masing-masing dan dalam jagaan kekal berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat menyimpan di TH seperti simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah, dikecualikan cukai pendapatan dan turut serta dalam kempen dijalankan.
“Pendeposit hanya perlu melakukan hanya satu transaksi simpanan atau pengeluaran bagi memastikan akaun TH anda kekal aktif,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

