PENERBANGAN KT051 (MH8110) yang membawa 278 jemaah haji terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman, petang tadi, berikutan isu teknikal pesawat.
Perkara itu disahkan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan malam ini.
Menurut TH, penerbangan KT051 telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendarat di Muscat, Oman pada pukul 4.11 petang waktu tempatan.
“Semua 278 jemaah haji berada dalam keadaan selamat dan pihak keluarga mereka tidak perlu risau.
“KT0S1 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.06 petang tadi waktu Malaysia, dan dijadualkan tiba di Jeddah sekitar 5.50 petang pada hari yang sama,” jelasnya.
TH memberitahu, pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian ke atas pesawat sebelum membuat keputusan selanjutnya tentang penerbangan.
“Sekiranya perlu, semua jemaah akan menginap di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

