Drama bersiri Ali Alia ialah sebuah karya yang mengangkat genre kekeluargaan dan hubungan kasih sayang berkisarkan tentang pasangan suami isteri, Amir dan Mazni yang dihimpit dengan kemelut rumah tangga sehingga mahu bercerai.

Keputusan tersebut menjadi titik punca yang menyebabkan anak mereka, Ali (lakonan Fimie Don) dan adik kembarnya yang autistik, Alia (Erynne Erynna) lari dari rumah kerana amat tertekan dengan pertelingkahan yang berlaku di antara ibu bapa mereka.

Idea drama 13 buah episod ini dicetuskan oleh bekas pengacara dan pelakon terkenal sekitar tahun 90-an yang kini aktif dalam bidang penulisan serta pengarahan, Rina Khan.

Menurut pengarah drama Ali Alia, Heykal Hanifah, drama terbitan terbitan syarikat produksi, Luqsar Kreatif Sdn. Bhd. ini sarat dengan konflik dan dekat dengan hati penonton.

“Kekuatan Ali Alia terletak kepada plot penceritaan, skrip dan lakon layar yang realistik. Walaupun agak berat dan penuh konflik, namun dekat dengan hati penonton kerana ia mengetengahkan hubungan kekeluargaan serta kasih sayang di antara adik beradik kembar dan ibu bapa.  

“Saya amat gembira dengan keserasian barisan pelakon hebat yang terlibat dalam menjayakan drama ini. Kriteria pemilihan pelakon bukanlah berdasarkan populariti tetapi mengikut tuntutan karya asal yang diilhamkan oleh Rina Khan. Walaupunpun mereka tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai di laman Instagram, namun rata-rata pernah menang anugerah dalam bidang lakonan,” katanya.

Tambah Heykal, mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskhah ini ialah tentang kepentingan hubungan kekeluargaan.

“Jika ibu bapa saling berantakan, ia pasti mengundang masalah kepada seluruh keluarga sehingga berpecah belah. Namun, segala perselisihan dapat diketepikan untuk kembali bersatu demi kepentingan anak-anak tercinta yang menjadi keutamaan. Selain itu, gambaran suka duka membesarkan anak autistik kurniaan Allah SWT yang boleh menjadi kunci untuk kita masuk syurga turut dipaparkan.

“Sebagai ibu bapa, jangan sesekali kita mempersiakan tanggungjawab yang diberi kerana implikasinya amat besar. Sekiranya ada masalah atau ‘stress’, ambillah pendekatan yang baik dan positif. Pengajaran positif yang disuntik dalam kisah Ali Alia boleh dijadikan sebagai inspirasi, panduan dan teladan, sementara yang buruk pula hendaklah dijadikan sempadan. Saya berharap agar drama ini akan beri impak positif sekaligus memikat hati penonton,” cerita Heykal.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, berharap konsep yang ditampilkan dalam drama Ali Alia dapat memenuhi citarasa penonton kerana jalan ceritanya yang dilihat dekat dengan kehidupan harian penonton.

“Selepas berakhirnya drama Siapa Jaga, kami dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi drama hebat dengan kisah serba baharu yang masih mengangkat kepentingan institusi kekeluargaan bagi mengisi slot Tiara di Astro Prima.

“Drama Ali Alia memberi kelainan segar yang sedikit berbeza dengan drama-drama sebelum ini apabila turut mengetengahkan watak remaja autistik sebagai salah satu karakter utama yang menggerakkan keseluruhan cerita.

“Hal ini secara langsung dapat mendidik orang ramai tentang kesedaran bagi masalah autism sekaligus memberi lebih pendedahan tentang perihal keadaan tersebut kerana golongan istimewa ini melihat dunia dengan cara yang berbeza serta perlukan perhatian yang berlainan.

“Selain itu, kisah Ali Alia juga boleh dijadikan iktibar terutamanya dalam memperbaiki keharmonian hubungan di antara suami isteri kerana setiap rumah tangga ada pasang surutnya. Apabila keluarga bahagia, anak-anak turut gembira dan begitu jugalah sebaliknya,” kata Norzeha.

Drama Ali Alia dibintangi oleh Fimie Don, Erynne Erynna, Rusdi Ramli dan Faezah Elai selaku teraju utama di samping barisan pelakon handalan seperti Fahrin Ahmad, Usop Wilcha, Sabrina Ali, Faradhiya, Rashid Jaafar, Sharifah Juairiah, Jay Iswazir, Kodi Rasheed dan Mior Hashim Manap.

Drama Ali Alia mula bersiaran mulai 24 Ogos 2021 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang menerusi slot Tiara di saluran Astro Prima (105).