BAGI generasi baru di sekitar Janda Baik, Pahang, pasti anda tidak pernah mendengar kisah sebuah perkampungan lama yang pernah wujud dahulu, sebelum lenyap ditelan bencana alam.

Suatu ketika dahulu, kira-kira lima kilometer dari bandar Bentong, wujud sebuah kampung tradisional yang sejak sekian lama tidak berpenghuni. Kawasan itu seolah-olah terasing dan tiada penduduk mendiaminya.

Kawasan penempatan itu suatu ketika dahulu dikenali sebagai kampung Ulu Sembah. Mengikut cerita, perkampungan itu telah musnah akibat dilanda banjir besar pada tahun 1926.

Akibatnya, air daripada bukit tersebut telah menyebabkan sebatang sungai berhampiran yang  dikenali sebagai Sungai Sembah melimpah lalu menenggelamkan hampir 100 peratus keseluruhan kampung itu.

Banjir besar yang melanda pada tahun 1926 telah melenyapkan kampung Ulu Sembah.

Kira-kira dua minggu selepas kawasan tersebut ditenggalami air, penduduk kampung di Ulu Sembah dilanda pula masalah kebuluran apabila kehabisan bekalan makanan. Lebih menyedihkan, kesemua makanan dan hasil tanaman tidak dapat diselamatkan angkara banjir besar hingga menyebabkan penduduk mengambil keputusan berhijrah ke kawasan lain.

Sungai Sembah.

Beberapa tahun lalu, kami pernah cuba mencari kisah kampung yang sudah lenyap ini, yang terletak di kaki Banjaran Titiwangsa. Ketika itu kami berjumpa dengan seorang penduduk  dari Janda Baik bernama Ahmad.

Dakwa Ahmad, dia pernah pergi ke kawasan kampung Ulu Sembah tersebut. Katanya, sewaktu sampai ke kawasan itu tiada bukti penemuan penting dapat dijumpai.

Lebih menyukarkan,  seluruh kawasan berkenaan telah ditumbuhi hutan tebal dan semak-samun sekaligus membantutkan usaha Ahmad untuk cuba mencari bukti-bukti seperti struktur binaan dan peninggalan lain yang dikatakan milik penduduk asal yang pernah menghuni kampung tersebut.

Kebanyakannya, kesan bukti yang penting telah musnah akibat dimamah usia. Hanya yang tinggal adalah bukti-bukti sampingan yang kelihatan seperti bekas tapak-tapak penempatan, kawasan pertanian dan kandang haiwan peliharaan penduduk pada ketika itu yang sudah dipenuhi belukar.

Kesan tapak ladang dan sawah padi yang kini sudah dipenuhi belukar di kampung Ulu Sembah yang sudah ditinggalkan.

Selain Ahmad, kami juga berjumpa dengan mak cik Rahmah, salah seorang warga emas di Kampung Tambai.

Menurut mak cik Rahmah, berdasarkan cerita daripada moyangnya, kawasan kampung Ulu Sembah pada asalnya telah dibuka oleh seorang ketua kampung yang bernama ‘Tok Yek’ sekitar abad ke 17 hingga 18. Kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan itu terdiri daripada golongan petani.

Jelasnya lagi, sebelum pembukaan Bentong, kawasan perkampungan Ulu Sembah tersebut begitu masyhur di kalangan penduduk setempat kerana hasil padi yang berkualiti.

Sisa tinggalan yang masih ada di tapak asal kampung Ulu Sembah.

Malangnya, selepas berlakunya banjir besar pada tahun 1926, kampung berkenaan musnah sekelip mata. Akibatnya, ia turut menenggelamkan  kesemua hasil tanaman padi hingga penduduk ketika itu terputus bekalan makanan.

Disebabkan itu, kesemua penduduk kampung mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan lain yang lebih selamat. 

Setelah mengenal pasti lokasi yang sesuai, penduduk asal kampung berkenaan dikatakan membuka dua kawasan penempatan baru yang kini dikenali sebagai Janda Baik dan Lebu. Selepas semua penduduk berhijrah ke kawasan baru ini, mereka tidak lagi diancam bencana banjir.  

Dikatakan penduduk asal kampung Ulu Sembah berhijrah ke penempatan baru yang dikenali sebagai Janda Baik dan Kampung Lebu.

Ada juga kisah-kisah lisan tentang legenda naga yang dikaitkan dengan kisah banjir besar yang melenyapkan kampung ini pad tahun 1921. Kononnya, semasa peristiwa banjir itu berlaku, muncul seekor naga dari arah sebuah bukit berhampiran yang dikenali ‘Bukit Kutu’.  

Kini, kampung Ulu Sembah hanya tinggal nama sahaja, itu pun yang mengingatinya mungkin hanya generasi warga emas yang pernah mendengar kisah kewujudan kampung ini dari orang-orang tua terdahulu.

Walaupun sudah tidak berpenghuni dan hanya tinggal nama, kampung Ulu Sembah tetap menjadi kenangan buat generasi penduduk asal yang kini berada di Janda Baik dan Lebu.

Bukit Kutu di Bentong yang dikaitkan dengan legenda naga yang keluar sewaktu banjir besar 1926.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare