TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim bertitah 396 daripada 779 guru di Johor yang ditemui baginda hari ini enggan mengambil vaksin COVID-19 kerana masih ragu-ragu terhadap keberkesanan suntikan tersebut.
Bagaimanapun, Tun Ismail berkata, baki 383 guru lagi bersetuju untuk mengambilnya tetapi menangguhkan suntikan buat masa ini kerana mempunyai masalah alahan, mengandung atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Saya telah mendengar ulasan dari para guru mengenai isu-isu yang mereka hadapi. Daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.
“Sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
BERITA BERKAITAN TMJ titah 779 guru tolak vaksin di Johor menghadap
Pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan diadakan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Yahya Ahmad dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.
Manakala Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad menyertai pertemuan berkenaan secara maya.
“Dalam perjumpaan itu juga saya berkongsi info mengenai program vaksinasi di Johor dan situasi terkini pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengenengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik.
“Saya berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

