Di sebuah kawasan Afrika Tengah, terdapat satu suku yang digelar ‘manusia kerdil’ iaitu suku Pygmy. Suku ini hidup di kawasan hutan Afrika tengah, iaitu di negara Cameroon dan Congo.
Firaun Pepi II dari Mesir pernah menulis tentang suku Pygmy dalam suratnya pada satu ekspedisi perdagangan di Sungai Nil sekitar tahun 2276 Sebelum Masihi (SM). Raja Mesir kuno ini menggelar suku Pygmy ini sebagai ‘manusia kerdil milik para dewa yang menari di tanah roh’.
Suku Pygmy ini terbahagi kepada beberapa kelompok. Antaranya Baka Pygmy, Bakola-bagyeli, Bedzan, Bakoya, Aka, Bayaka dan Bambenga Pygmy. Puak Pygmy ini hidup secara bertaburan dan setiap kelompok suku ini mempunyai kawasan mereka tersendiri.
Pygmy dikenali sebagai salah satu kaum primitif di dunia. Ini kerana, mereka masih lagi menjalani kehidupan dengan mengumpul makanan dari sumber hutan dan berburu, sedangkan masyarakat lain sudah menjalankan aktiviti pertanian, penternakan dan perniagaan bagi menampung kehidupan.

Suku Pygmy juga masih menganuti kepercayaan Animisme dengan mempercayai kuasa roh penunggu hutan. Biasanya, jika mereka mahu meraikan sesuatu peristiwa penting, mereka akan menari dan menyanyi sepanjang malam. Mereka percaya dengan berbuat begitu, semangat penunggu hutan akan memberi restu dan bergembira bersama mereka.
Apa yang unik tentang suku ini ialah saiz tubuh mereka yang kerdil. Pada abad kelima SM, ahli sejarah Yunani bernama Herodotus menulis seorang pengembara Parsi pernah melihat ‘orang dwarfish’ yang menggunakan pakaian yang diperbuat daripada pokok palma di sepanjang pantai Afrika Barat.
Dalam beberapa rujukan lain seperti yang ditulis oleh Homer juga menyatakan tentang kekerdilan suku kaum Pygmy. Homer juga menyebut tentang peperangan kaum Pygmy dengan tentera Trojan.
Ketinggian maksimum seorang lelaki dewasa Pygmy hanya sekitar 130-150 sentimeter saja. Manakala wanita dan kanak-kanak masyarakat ini mempunyai ketinggian yang kurang daripada itu.

Terdapat pelbagai teori cuba menjelaskan fenomena kekerdilan pada keturunan suku ini. Antaranya, pengkaji mengaitkan kurangnya kadar Ultra Violet di dalam hutan menyebabkan etnik Pygmy tidak dapat mengubah pro-vitamin D menjadi vitamin D di dalam tubuh mereka.
Teori lain pula mengatakan bahawa kekerdilan itu berpunca daripada kekurangan makanan yang mengandungi nutrisi tinggi. Tak kurang juga yang mengaitkan kelangsungan hidup kaum ini dalam hutan menyebabkan fizikal mereka menjadi begitu.
Sesuatu yang menarik mengenai suku kaum ini adalah tahap kesuburan mereka di mana mereka mempunyai kematangan sistem reproduktif yang berbeza dengan manusia biasa. Dalam bahasa mudah, suku Pygmy sudah mampu berkeluarga di usia yang jauh lebih muda daripada manusia biasa. Namun begitu, jangka usia mereka lebih pendek berbanding manusia normal.
Pada usia lapan tahun, suku kaum ini sudah bekeluarga dan perempuannya mampu melahirkan zuriat. Rata-rata usia suku kaum ini hanya hidup antara 30 sehingga 40 tahun sahaja.

Jumlah komuniti ini sekarang semakin susut, dianggarkan kurang dari 250,000 orang. Suku Pygmy mulai terusir daripada habitat asalnya di hutan belantara, dan terpaksa tinggal berhampiran dengan mukim Bantu.
Bantu adalah adalah nama untuk suku lain yang tinggal berdekatan dengan suku Pygmy. Secara fizikalnya, orang-orang Bantu tidak kerdil. Ketinggian mereka normal seperti manusia biasa. Malah, gaya hidup mereka jauh lebih baik dan maju, malah ramai yang berpendidikan.
Paul Raffaele, penulis buku ‘Among the Cannibals’ pernah mengunjungi tempat tinggal suku Pygmy dan menyaksikan bagaimana suku Pygmy diperlakukan kurang baik oleh puak Bantu.
Suku Bantu beranggapan bahawa Pygmy hanyalah ‘budak’ yang diwariskan nenek moyang mereka. Bahkan, sesetengah daripada suku Bantu mempercayai bahawa Pygmy bukan lah manusia. Disebabkan itu, suku Pygmy tersisih dan kurang mendapat keadilan dalam hal pendidikan dan kemudahan kesihatan.

Akibat pengaruh negatif dari luar juga, sebahagian kaum lelaki suku Pygmy tidak lagi berburu dan mencari makanan dari hutan. Sebaliknya, mereka mula minum arak dan terlibat dalam perniagaan haram marijuana.
Tetapi, selalunya polis tidak berani mengambil tindakan terhadap mereka kerana risau dengan suku Pygmy yang dikenali dengan amalan sihir dan ilmu hitam mereka.
___________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

