POLIS telah mengenalpasti dan sedang menjalankan siasatan lengkap berhubung kumpulan ajaran sesat dikenali sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menyedari mengenai pergerakan kumpulan itu dan mampu menangani perkara itu dengan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam.

Difahamkan, seorang wanita berusia 39 tahun dengan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT dengan dakwaan akan berlaku Perang Dunia Ketiga dengan pasukannya sedang mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.
Individu berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial untuk berkongsi pelbagai dakwaan dan ramalan pelik.
“Saya lihat (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita kalau ambil tindakan seperti ini tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru.
“Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam. Kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya.
BERITA BERKAITAN 10 tanda KIAMAT BESAR yang perlu anda ketahui. Ia hanya akan terjadi apabila…
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Idris Abdullah daripada Datuk Hazani Ghazali yang ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Auditorium IPK Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Laporan sebuah portal berita sebelum ini menyatakan Sittah kini mempunyai hampir 3,000 pengikut dan 22 kumpulan di aplikasi Telegram selain mendakwa ahli kumpulan itu sentiasa meningkat dari hari ke hari.
Malah, laporan itu mendakwa pengikut atau ahli kumpulan ini juga terdiri daripada pegawai badan beruniform dan golongan profesional.
Dalam perkembangan lanjut, beliau menyatakan tiada maklumat mengenai dakwaan ajaran itu yang mengatakan bahawa Perang Dunia Ketiga akan berlaku di Sabah.
Sementara itu, ditanya mengenai pengikut ajaran PMYT dalam kalangan anggota beruniform, Acryl Sani berkata, pihaknya akan teliti dan semak perkara berkenaan.

