10 tanda kiamat besar

Di dalam hadis riwayat Muslim dari Hudzaifah bin Asid Al Ghiffari katanya,

“Rasulullah s.a.w. tiba-tiba muncul di hadapan kami ketika kami sedang membincangkan tentang kiamat. “Apa yang sedang kalian bincangkan?” Jawab para sahabat, “Kami berbincang-bincang mengenai hari kiamat.” Sabda Baginda,

Kiamat tidak akan terjadi sebelum terlihat sepuluh macam tanda: (1) Ad Dukhan (asap atau kabut), (2) Dajjal, (3) Dabbah, (4) Matahari terbit dari Barat, (5) Isa anak Maryam a.s turun, (6) Yakjuk dan Makjuj, (7) Gempa bumi di Timur, (8) Gempa bumi di barat, (9) Gempa bumi di Jazirah Arab, (10) Api menyala di Yaman menghalau umat manusia ke mahsyar(tempat berkumpul).”

Belum masanya lagi! Begitulah yang diungkapkan oleh Dr. Fadlan Mohd. Othman, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, apabila diminta menjelaskan tentang tanda-tanda besar kiamat.

Namun nanti apabila sampai masanya ia akan datang secara berturut-turut selepas satu diikuti dengan yang lain. Apabila keluar satu tanda itu ia akan saling berturut-turut, keluarnya Imam Mahdi, maka akan keluarnya Nabi Isa dan dia akan bunuh Dajjal.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh para ulama bahawa tanda kiamat besar itu akan berturutan seperti jatuhnya biji tasbih yang terputus talinya.

Tanda-tanda itu belum berlaku lagi. Sekarang ini jika ada yang mengaku bahawa dia adalah Imam Mahdi itu adalah tipu kerana tanda kimat besar itu akan datang berturut-turut. Apabila ada Imam Mahdi maka akan turun Nabi Isa dan akan munculnya Dajjal.

Siapa sebenarnya Imam Mahdi? Disebutkan di dalam hadis Nabi s.a.w. dari Abu Ishaq dia berkata, Ali pernah berkata sambil memandang kepada anaknya al-Hasan katanya,

Sesungguhnya anakku ini pemimpin, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Daripada keturunannya akan lahir seorang yang dinamakan dengan nama Nabi kita. Ia menyerupai Baginda pada budi pekertinya dan tidak menyerupainya pada parasnya.” – HR Abu Dawud

Kemudian di dalam satu hadis yang lain dijelaskan secara terperinci tentang Imam Mahdi. Abu Sa’id Al Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Mahdi itu adalah daripadaku, luas dahinya, tinggi dan halus hidungnya, dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Ia akan berkuasa selama tujuh tahun.” – HR Tirmizi dan Abu Daud.

Imam Mahdi keturunan Rasulullah

Rasulullah juga mengesahkan bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunannya, mempunyai nama yang sama seperti Rasulullah iaitu Muhammad bin Abdullah. Ummu Salamah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Al Mahdi itu adalah daripada ahli keluargaku dari anak cucu Fatimah.” – HR Abu Daud

Kiamat akan berlaku apabila tanda besar muncul secara berturut-turut seperti biji tasbih yang jatuh kerana terputus talinya

Kemudian disebut di dalam sebuah hadis yang lain pula. Ibnu Majah juga meriwayatkan daripada Sayyidina Ali r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Mahdi itu adalah dari ahli keluargaku. Allah S.W.T. akan melayakkannya hanya dalam satu malam.” – HR Ibnu Majah, Tarmizi, Abu Daud dan Hakim

Dari hadis itu dijelaskan bahawa Imam Mahdi adalah orang biasa tetapi Allah menukarkannya menjadi manusia soleh di dalam masa satu malam sahaja.

Imam Mahdi itu bukan yang dari awalnya kelihatan seperti orang alim walaupun ramai yang mengetahui bahawa dia adalah dari keturunan Nabi. Itulah keistimewaan Imam Mahdi yang disebut oleh Rasulullah.

Secara jelasnya, Dr. Fadlan menekankan bahawa memahami ilmu tentang tanda-tanda hari kiamat adalah sebagai benteng diri untuk berdepan dengan ajaran sesat. Antara yang ditekan oleh ajaran sesat adalah menjadi Imam Mahdi.

Ramai yang mendakwa sebagai Imam Mahdi dan mempunyai kuasa luar biasa. Di sinilah pentingnya ada ilmu kerana hadis banyak membicarakan tentang ciri-ciri Imam Mahdi yang boleh dijadikan panduan sama ada dakwaan seseorang itu benar atau palsu. Wallahu a’lam

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram