Nuraslina Zainal Abidin

AHLI Lembaga Pengarah, Theta Edge Berhad mengumumkan pelantikan Nuraslina Zainal Abidin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa pada 8 September 2021.

Pengerusi Theta Edge Berhad, Datuk Noordin Sulaiman berkata, pelantikan berkenaan adalah bagi menggantikan A. Shukor S.A. Karim yang bersara pada 28 Jun lalu.

“Dengan pelantikan Nuraslina sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu, beliau akan mengetuai transformasi dan juga nilai-nilaisyarikat untuk pemulihan segera dan seterusnya menerapkan strategi untuk jangka panjang dan kelestarian,” katanya.

Theta Edge adalah syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji dah telah beroperasi selama lebih dari 30 tahun serta mengkhusus di dalam perniagaan berkaitan sistem integrasi dan teknologi maklumat.

Nuraslina, 46, pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Innovation Associates Consulting Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat Dagang Nexchange Berhad serta Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Genaxis Group Sdn. Bhd.

BERITA BERKAITAN TH catat keuntungan bersih RM1.22 bilion enam bulan pertama 2021

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan Sarjanamuda Sains (Kepujian) dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan dari Universiti Sains Malaysia.

Menerusi kepimpinannya dalam meneraju aspek transformasi digital dan pengoptimuman perniagaan, beliau telah berjaya memberikan nilai penjimatan sehingga AS$150 juta kepada para pelanggannya.

Beliau berpengalaman sebanyak 17 tahun dalam bidang transformasi dan pengoptimuman proses perniagaan syarikat berprestasi tinggi dan pernah menerajui pelbagai projek mega teknologi kerajaan dan terlibat dalam penghasilan inisiatif strategik untuk transformasi digital.

Beliau telah dianugerahkan beberapa pengiktirafan di atas usahanya sebagai usahawan dan usahawan tekno, serta merupakan fasilitator di peringkat kebangsaan termasuklah antarabangsa.

Corak kepimpinannya yang berwawasan dan bertranformasi menjadikan beliau sebagai ikon yang dikenali dalam bidang perubahan perniagaan, pembangunan, dan peningkatan prestasi.
Dengan pelantikan Nuraslina sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, status Jawatankuasa Eksekutif dibubarkan serta-merta.

Theta Edge merupakan salah satu syarikat perintis di Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) dan tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur.

Theta Edge juga terlibat Pelaksanaan Sistem Maklumat Penjagaan Kesihatan, Perkhidmatan Kejuruteraan Telekomunikasi & Kerja Sivil serta Perundingan Tenaga Hijau & Sistem Integrasi. – UtusanTV