YAYASAN Felda baru-baru ini menyampaikan sumbangan 200 unit ‘Self-Care Box’ kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur sebagai menghargai jasa mereka kepada msayarakat ketika musim COVID-19 melanda.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd. Banuri Aris mewakili gabungan para pengasas produk yang terlibat kepada wakil barisan hadapan petugas COVID-19 di kedua-dua hospital tersebut.

Selain itu, sebahagian lagi sumbangan ‘Self-Care Box’ itu turut diberikan kepada pasukan petugas hadapan di Islah Dialisis Center Selayang dan juga di Gong Badak, Kuala Terengganu dan beberapa lagi Hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor melalui kempen ‘We Salute All Frontliners.’

“Sejak kes COVID-19 meningkat secara mendadak pada awal tahun ini, petugas barisan hadapan kita telah melakukan yang terbaik dengan memastikan pesakit-pesakit COVID-19 mendapat rawatan yang terbaik,” kata Mohd. Banuri dalam satu kenyataan akhbar.

Katanya, mereka telah bekerja melebihi tempoh shift melebihi 24 jam, terpaksa berjauhan daripada keluarga serta sanggup berhadapan dengan risiko jangkitan apabila berurusan dengan pesakit COVID-19.

“Tanggungjawab yang dipikul oleh mereka sangat berat untuk menjaga kita serta memastikan pesakit Covid 19 terus bernyawa, namun siapakah yang mengambil berat tentang mereka?,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kempen ‘We Salute All Frontliners’ tercetus daripada idea beberapa kenalan rapat pengasas pengeluar produk tempatan yang bersimpati melihat masalah yang dihadapi oleh pasukan petugas hadapan.

“Rata-rata mengalami masalah kulit yang berjerawat, berminyak akibat terlalu lama memakai topeng muka/PPE, tangan mereka menjadi kering dan menggelupas akibat kerap menggunakan ‘hand sanitiser’ dan ada juga yang mengalami masalah tumit pecah akibat seharian berdiri,” kata kenyataan itu.

Produk-produk tempatan penjagaan diri dan makanan yang terdapat di dalam ‘Self-Care Box’ ialah ‘Hydrating Face Mist’ daripada Bluebell Skincare, Nourishing Hand and Body Lotion, Deep Moisturising Balm dan Lip Balm daripada Rehla Natural Halal Skincare, supplemen ‘Gluta Colla Plus’ daripada Cmary, ‘Natural Balm’ dengan campuran minyak kayu putih daripada Pearl Herbs, ‘Energy Coffee’ dari Una Coffee, Biskut daripada ‘Cookies Most Wanted’ dan Karl’s Popcorn Caramel daripada Karlicious Food Industries.

“Kami berpendapat ‘Self-Care Box’ ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati para petugas hadapan yang telah bekerja keras untuk negara.

BERITA BERKAITAN PM ucap terima kasih petugas bantu operasi SJR

“Saya dimaklumkan ada di antara petugas barisan hadapan ini tidak sempat untuk makan, nak ke tandas, apatah lagi untuk keluar membeli barangan samada di atas talian atau di kedai, kerana keutamaan mereka adalah kepada pesakit COVID-19 yang sedang menerima rawatan,” kata Pengasas Produk Rehla, Siti Hajar Harun.

Sehubungan itu, katanya, mereka sebagai penyumbang berharap sumbangan ‘Self-Care Box’ dapat memberi sedikit kegembiran kepada petugas-petugas tersebut dan mengetahui masyarakat itu prihatin mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Setiap satu ‘Self-Care Box’ bernilai RM129 dan i amerupakan salah satu tanggungjawab sosial yang dijalankan oleh penyumbang dalam membantu pertugas hadapan, lebih- lebih lagi dalam keadaan pandemik ketika ini yang banyak syarikat kecil dan sederhana yang terkesan,” katanya..

Bagi mereka yang berminat untuk memberi sumbangan ini, boleh salurkan sumbangan anda ke https://toyyibpay.com/Sumbangan-Frontliners ataupun salurkan terus sumbangan ke akaun Yayasan Felda di Maybank : Yayasan Felda – Maybank – 514217500031 – (Ref: Frontliners). – UtusanTV