SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh pengawal keselamatan selepas menyerang mangsa di sebuah kondominium, Disember tahun lalu.
Ahli perniagaan itu sebelum ini pernah didakwa atas tuduhan menyerang pengawal keselamatan itu sebelum pertuduhan dipinda kepada membunuh setelah mangsa meninggal dunia 27 Ogos lalu.
Memetik laporan BH Online, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mengklasifikasikan semula kes daripada Seksyen 335 Kanun Keseksaan.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mengikut pindaan pertuduhan, Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh Thava Sagayam, 64, di Tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, Ipoh antara pukul 8 hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.
Pertuduhan awal mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan, mahkamah telah melepaskan tanpa membebaskan tertuduh.
Baca artikel berkaitan: Kematian pengawal keselamatan: Jabatan Peguam Negara setuju pinda pertuduhan
Namun begitu, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus dan mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan semula.
Pendakwaan dalam prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalina Rashdi manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.
Isteri mendiang Thava Sagayam, E. Philomena, 59 turut hadir ke mahkamah.
Dalam kejadian 29 Disember lalu, Thava Sagayam, 64, yang bertugas di kolam renang kondomonium cedera di bahagian belakang kepala setelah diserang seorang lelaki.
Kejadian itu berpunca daripada tindakan lelaki yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anak kepada penyerang itu daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.
Bagaimanapun, selepas lapan bulan menderita dan menjalani lapan pembedahan di kepala, Thava Sagayam menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 27 Ogos lalu.
Kes itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan keadilan harus ditegakkan dengan tiada sesiapa terkecuali daripada garis undang-undang.
Perdana Menteri turut meluangkan masa menghubungi keluarga mendiang Thava Sagayam.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

