Menderita akibat Pembedahan Batin
Sekadar Gambar Hiasan

Sebenarnya dalam masyarakat kita, sihir khayalan selalu juga berlaku. Misalnya, muntah darah disebabkan santau.

Darah tidak ada setitik pun yang keluar dari mulut mangsa, tetapi mangsa dan orang yang ada sekeliling dapat melihat dengan jelas darah keluar dari mulutnya dengan begitu banyak, mungkin berbotol-botol. Yang menghairankan, apabila pemeriksaan dilakukan oleh doktor pakar, kadar darah mangsa dalam tubuhnya tidak kurang.

Kita dapati juga ada sesetengah kaum ibu yang mengadu, nampak dengan jelas suaminya sedang berzina. Kerana berasa terlalu kecewa dan tertekan, maka ibu ini mahu membunuh diri. Kerana ingatkan Allah, niat buruk ibu ini dibatalkan. Kemudian, ibu ini melakukan pemeriksaan sekali lagi ke bilik di mana suaminya melakukan zina. Ibu ini terperanjat kerana tiada sesiapa pun di dalam bilik tersebut.

Orang yang terkena sihir pelalau, dikatakan sukar mendapat jodoh. Antara sebab orang yang terkena sihir pelalau sukar mendapat jodoh ialah kerana kecantikannya akan berubah menjadi buruk, bila dilihat oleh orang yang berminat untuk dijadikan sebagai isteri. Padahal wajahnya yang sebenar tetap cantik tidak berubah.

Pada hakikatnya, pembedahan yang kelihatan berlaku secara misteri itu tidak berlaku sama sekali. Hanya pandangan orang yang menyaksikan sahaja yang terkhayal, seolah-olah pembedahan itu wujud atau berlaku.

Keadaannya samalah seperti tali dan tongkat ahli sihir di zaman nabi Musa, kelihatan pada pandangan orang ramai bertukar menjadi ular yang hidup menjalar. Tidak masuk akal tali dan tongkat bertukar menjadi ular menerusi kebijaksanaan manusia. Begitulah juga tidak masuk akal pembedahan boleh dilakukan dengan tangan kosong, tanpa alat pembedahan moden dan tanpa bius.

Anggota kita digigit nyamuk pun berasa sakit, apatah lagi jika pembedahan batin itu benar-benar berlaku, tentulah pesakit akan merasa sangat sakit hingga tidak tertanggung, terutamanya pembedahan dilakukan di bahagian yang sensatif seperti mata, kepala, perut dan lain-lainnya.

Semasa pembedahan, pesakit tidak merasa sakit. Apa yang dirasai hanya tangan perawat. Malahan pesakit kelihatan tersenyum merasa geli. Mengapa demikian?

Sebab pembedahan tidak berlaku. Apa yang dialami Haji Alias dan Makcik Piah membuktikan bahawa pembedahan batin adalah sejenis sihir khayalan. Sihir khayalan dalam pembedahan kepala anak Makcik Piah terbatal dalam pandangan beliau disebabkan beliau sentiasa membaca ayat kursi. Inilah yang dimaksudkan oleh setengah ulamak, bahawa waridah syaitaniyyah akan terbatal dengan sesuatu sebab.

Artikel Berkaitan: siri 1 awas sihir khayalan dalam pembedahan batin

Walaupun dibedah pesakit tidak merasa sakit kerana hakikatnya tiada pembedahan dilakukan

Mengalihkan Pandangan Masyarakat

Apabila masyarakat mulai sedar pembedahan batin sejenis sihir khayalan, maka setengah pusat pembedahan batin cuba mengalihkan pandangan masyarakat dengan cara menukarkan penggunaan istilah pembedahan batin kepada pembedahan makrifah. Kononnya ilmu yang digunakan dalam pembedahan ialah makrifatullah.

Sebenarnya mereka telah melakukan dua kali pembohongan besar kepada manusia, kepada Allah dan kepada diri mereka sendiri, serta merosakkan ketinggian dan kesucian ilmu makrifatullah. Biasanya makrifatullah dikurniakan oleh Allah kepada para wali Nya. Para wali Allah tidak akan terlibat dengan berbagai kerja yang membawa dosa besar seperti syirik, berbohong, melakukan amalan sihir dan sebagainya.

Keberkesanan Pembedahan Batin

Oleh kerana pembedahan batin sejenis sihir khayalan, maka tidak ada kesan yang positif sama sekali. Sebaliknya ia lebih banyak memberi kesan yang negatif. Penyakit yang dirawat tidak sembuh, malahan keadaannya bertambah buruk.

Hakikat ini didasarkan atas pengalaman penulis sendiri yang pernah merawat beberapa orang pesakit yang sebelumnya pernah berubat menerusi pembedahan batin. Ada beberapa orang pesakit yang telah berubat lebih 10 kali menerusi pembedahan batin dan sudah memakan belanja beribu ringgit, tapi kesembuhan yang diharapkan sangat mengecewakan.

Bagaimana penyakit boleh sembuh jika realitinya, rawatan tidak dilakukan sama sekali. Orang ramai di sekeliling yang menyaksikan pembedahan telah tersihir dengan sihir khayalan. Pengalaman Haji Alias dan Makcik Piah merupakan bukti yang jelas bahawa rawatan memang tidak berlaku.

Kita tentu yakin bahawa penipuan tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada masyarakat mahupun diri penipu itu sendiri. Masyarakat akan menghadapi berbagai masalah penipuan menerusi pembedahan batin.

Yang lebih serius ialah pembedahan batin telah mengheret masyarakat Islam ke medan sihir yang melibatkan dua jenis dosa besar iaitu dosa kerana terlibat dengan ilmu dan amalan sihir dan dosa menyekutukan Allah melalui amalan sihir.

Hukum Berubat Menerusi Pembedahan Batin

Penulis selalu dihujani berbagai pertanyaan, apakah hukum kita berubat menerusi pembedahan batin. Kita sudah dapat kepastian bahawa pembedahan batin adalah merupakan sejenis ilmu dan amalan sihir khayalan. Berubat menerusi amalan sihir adalah haram.

Seseorang pesakit, khasnya pesakit yang mengalami masalah kesihatan disebabkan sihir, apabila ia menjalani rawatan pembedahan batin, bererti orang tersebut mengubat penyakit sihir dengan sihir. Mengubat penyakit disebabkan sihir dengan sihir diistilahkan oleh ulamak dengan istilah nushrah.

Jumhur ulamak mengatakan nushrah adalah haram, sekali pun sembuh penyakit yang dideritai oleh seseorang. Ini kerana kesan sampingan penggunaan nushrah lebih buruk dan lebih membahayakan kepada pesakit itu sendiri.

Kesan Sampingan

Antara kesan sampingannya ialah syaitan atau jin yang digunakan dalam pembedahan batin berkemungkinan besar akan terus mendampingi pesakit yang dirawat, khasnya mereka yang lemah iman dan kurang sifat ketaqwaannya. Kita dapati adanya pesakit yang selalu dirawat oleh bomoh dan pawang bertahun-tahun, akhirnya pesakit tersebut menjadi seorang perawat yang dapat dikategorikan sebagai pawang.

Bila pesakit telah dikuasai oleh jin dan syaitan menerusi al-nushrah bererti seluruh anggota keluarga akan terlibat dan menjadi mangsa dengan kerja-kerja syaitan dan jin. Lama-kelamaan syaitan dan jin menjadi saka dalam keluarga tersebut, yang sangat sukar dibersihkan.

Pembedahan Batin sebenarnya melewatkan pesakit untuk mendapat rawatan sebenar sehingga akhirnya penyakit menjadi lebih parah atau meninggal dunia

Selalunya pesakit akan menghadapi masalah akidah yang hebat, terutamanya jika perawat yang melakukan pembedahan batin tidak beragama Islam seperti tok cha, sami hindu, paderi atau sesiapa sahaja yang bukan Islam.

Contohnya, ada seorang wanita yang menerima rawatan selama beberapa tahun dari beberapa orang ustaz tetapi penyakitnya tidak juga sembuh-sembuh malah bertambah teruk. Kemudian beliau menjalani pembedahan batin yang dilakukan oleh seorang tok cha siam. Penyakitnya sembuh sepenuhnya.

Wanita tersebut sangat kagum dengan pembedahan batin itu walaupun dilakukan hanya tiga kali berturut-turut selama tiga hari sahaja. Akhirnya wanita tersebut meluahkan perasaan hatinya kepada suaminya bahawa dirinya semacam kurang percaya kepada Islam dan kurang percaya kepada ustaz-ustaz yang merawatnya. Ia lebih percaya kepada agama Buddha dan tok cha siam.

Begitulah kesan dan akibat mendapatkan rawatan yang bertentangan dengan syariat dan akidah Islam. Semoga kita tidak terpedaya dengan tipu helah syaitan. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Hj. Jahid Bin Hj. Sidek. Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah

__________________________-

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram