Masih tiada kes jangkitan Covid-19 dikesan membabitkan pelancong domestik di Langkawi.

SEMUA pelancong yang akan bercuti ke Langkawi mulai esok menerusi program gelembung pelancongan diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, setiap pelancong perlu menjalani ujian pengesanan sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen di mana-mana fasili kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Kata beliau, keputusan ujian itu hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas.

Menurut Khairy, pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri air liur dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di tempat saringan yang disediakan.

Selain itu, beliau berkata, pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri air liur melalui perkhidmatan yang akan disediakan pihak swasta di tempat saringan lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

“Ujian pengesanan ini akan dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun.

Baca artikel berkaitan: Pelancong ke Langkawi guna pesawat tidak perlu surat polis

“Bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan air liur.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan bertugas.

Beliau memaklumkan, individu yang didapati negatif COVID-19 dibenarkan meneruskan perjalanan manakala individu positif COVID-19 tidak dibenarkan meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat sedia ada.

“Saya ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa kejayaan untuk membawa negara keluar daripada pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram