“Saya macam berperang dengan diri”-Stacy kongsi kisah peluk Islam

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENYANYI Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam mengakui suami tercinta yang juga penyanyi, Akim Ahmad antara insan yang banyak menjentik hatinya untuk mendekati agama Islam.

Mengimbas kembali saat dia mengucapkan dua kalimah syahadah enam tahun lalu di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Stacy memberitahu Akim banyak bercerita mengenai keindahan Islam yang begitu santai dan tidak terlalu berat.

“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari.

“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, ia banyak menggerakkan hati ini untuk mengenali apa itu Islam dengan lebih dekat.

“Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’. Pendek kata apa yang keluar dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik,” katanya.

Kata ibu kepada Bella De Luna Valentina,8 dan Eshaal Afiq Hakim,4 itu, dia tidak menyangka hubungan rapat mereka itu telah membibitkan rasa cinta.

“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami.

“Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” ujarnya ketika menjadi tetamu program bual bicara secara virtual, Bersama Tya, baru-baru ini.

Kata penyanyi lagu Pakai Buang itu lagi, antara detik paling bermakna yang masih terpahat dalam kotak memorinya ialah apabila orang tuanya turut hadir menemani saat dia memeluk Islam.

Bagaimanapun, detik bersejarah itu pernah menjadi bahan sensasi individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan video dan proses pengislaman dirinya di media sosial.

“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.

“Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu, tetapi selepas gambar dan video saya disebabkan tanpa kebenaran, adik-beradik dan saudara-mara jadi tahu dan agak kecoh ketika itu.

“Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi,” katanya.

Tanpa berselindung, hatinya bagai melalui satu episod yang cukup dasyat sebelum melafazkan dua kalimah syahadah.

“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah keputusan yang saya lakukan ini tepat atau sebaliknya.

“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Sampai saya rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.

“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira.

“Ketika itu saya sedar, perasaan bukan-bukan itu hanya mainan emosi. Saya masih belum sempurna. Namun, dalam hati sentiasa berusaha untuk ke arah yang lebih baik,” ungkapnya.

Bersama Tya bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu, pukul 10 malam menerusi Instagram Live dan dimuat naik di saluran Youtube, Tya Ariffin.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This