SATU fenomena luar biasa bakal menlanda Negeri di Bawah Bayu apabila Stacy, bintang pop sensasi tanah air, mengumumkan konsert solo mega pertamanya, “AKU STACY”, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Jun depan, anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment, dan ditaja khas oleh U Mobile. Dikenali dengan persembahan bertenaga, vokal mantap dan gerak tari yang memukau, Stacy berjanji untuk memberikan sebuah pengalaman konsert yang epik dan penuh kejutan!
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, AKU STACY adalah sebuah penghormatan khas buat peminat yang telah setia menyokong perjalanan seninya sejak awal kariernya lagi. Dengan gabungan lagu-lagu hit, produksi bertaraf antarabangsa, serta elemen kejutan yang bakal dipersembahkan, Stacy bersedia untuk mencipta sejarah di negeri kelahirannya sendiri.
Mengulas tentang konsert ini, Stacy menyatakan keterujaannya: “Dulu saya pernah membuat beberapa konsert solo anjuran pihak penganjur, termasuk konsert ‘DFP Presents Stacy’ dua tahun lalu, serta ‘album tour’ di Sabah untuk album pertama saya, ‘Aku Stacy’.
“Namun, apa yang membezakan AKU STACY di tahun 2025 ini ialah penglibatan saya secara lebih mendalam dalam pemilihan tenaga kreatif yang terlibat serta dalam merealisasikan konsep keseluruhan konsert ini bersama pasukan saya sendiri.
“Saya memang merancang untuk mengadakan konsert ini di Sabah terlebih dahulu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah menyokong muzik saya sejak tahun 2008,” katanya.
Konsert ini bakal menampilkan konsep unik yang menggambarkan perjalanan muzik Stacy sejak awal kariernya. “Konsert AKU STACY menjanjikan muzik dan visual yang menggambarkan pelbagai genre lagu saya, diperkemaskan dengan visual fesyen yang unik, sesuai dengan identiti muzik saya yang sering berkisar dalam genre ‘dance’ dan rock & roll.
“Persembahan kali ini akan diolah secara khas dari segi muzik, tarian dan fesyen, menjadikannya satu pengalaman yang benar-benar istimewa buat peminat,” kongsinya.
Sebagai seorang artis yang sinonim dengan persembahan penuh aksi, Stacy turut menjanjikan elemen kejutan buat para peminat.
“Konsert ini merupakan durasi persembahan terpanjang saya, dan saya tidak sabar untuk membawa kejutan-kejutan khas buat penonton di Sabah. Dalam 17 tahun berada dalam industri ini, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk bertahan dan terus berkembang sebagai seorang penghibur. Saya ingin mengekspresikan segala emosi, seni, dan kreativiti saya melalui konsert ini,” tambah Stacy lagi.
Bagi Stacy, setiap lagu yang bakal dipersembahkan mempunyai nilai sentimental tersendiri. “Saya percaya setiap lagu membawa makna tersendiri dalam kehidupan kita, sama ada melalui lirik atau memori yang berkait dengannya.
“Saya ingin menyajikan persembahan yang lebih besar dari segi skala muzik dan tarian, termasuk elemen ‘pop culture’ seperti yang pernah saya bawakan dalam program ‘The Hardest Singing Show’ melalui lagu ‘Asmaradana’. Ini adalah momen istimewa buat saya, kerana saya dapat membawa persembahan sebegini ke tanah kelahiran saya sendiri,” ujarnya.
Harapan Stacy Buat Peminat
Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai penghargaan buat peminat yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya. Stacy berharap peminat akan memberikan sokongan penuh terhadap konsert ini. “Saya harap mereka semua dapat memberikan sokongan dan kepercayaan yang tulus terhadap konsert AKU STACY.
“Ini adalah konsert solo berskala besar pertama saya di tanah air sendiri, dan saya mahu menjadikannya satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Ini juga adalah peluang saya untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyokong saya tanpa henti sejak dulu lagi,” katanya.
Maklumat Lanjut
Butiran lanjut mengenai konsert “AKU STACY” akan diumumkan dalam masa terdekat. Peminat disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy untuk mendapatkan maklumat terkini, dan ikuti juga saluran U Mobile untuk konten-konten di belakang tabir serta pengalaman konsert yang eksklusif.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

