SEJAK membuat kemunculan dalam industri muzik Malaysia, bintang kelahiran Negeri di Bawah Bayu, Sabah iaitu Stacy Anam sering mencuri perhatian pencinta muzik tanah air.
Mempunyai bakat luar biasa berkat kemantapan vokal serta kelincahannya menari di atas pentas, Stacy sangat sinonim dengan lagu-lagu rancak dan bertempo laju. Tidak hairanlah jika dirinya pernah dinobatkan sebagai juara rancangan realiti nyanyian Akademi Fantasia musim keenam pada 2008.
Dan kini Stacy bukan sahaja masih aktif menyanyi dan membuat persembahan, tetapi juga sudah berjaya mencipta dan menulis banyak lagu berkualiti bersama suaminya yang juga penyanyi Akim Ahmad.

“Lagu Menyala ini dicipta bermula daripada siulan melodi yang mempunyai dua penyampaian perasaan berbeza. Pada awalnya ia lebih lembut dan seterusnya bertukar ke unsur rock yang lebih bertenaga.
“Terjemahan liriknya pula dihasilkan melalui ‘feel’ melodi lagu tersebut dan dihabiskan dalam satu cerita,” ujar Stacy.
Lagu itu merupakan sebuah lagi karya hebat nukilan pasangan penulis dan pencipta lagu Bunga Cantik serta Hang Nadim.
“Kerjasama di antara Bunga Cantik dan Hang Nadim dalam menghasilkan lirik lagu Menyala tidak mengambil masa yang lama. Masing-masing memahami tujuan dan isi lagu.
“Inspirasi untuk menghasilkan lagu ini lebih kepada kreativiti yang terinspirasi dari kesungguhan dan imaginasi bentuk persembahan secara langsung.
“Manakala liriknya pula diisi mengikut mood lagu iaitu dengan mencari titik tengah dalam meniti kehidupan dan juga meresap ketenangan, tidak kira dalam susunan muzik yang santai mahu pun ke susunan muzik yang lebih keras,” jelasnya lagi.
Susunan muzik lagu Menyala membuat melodi dan lirik lagunya lebih hidup seiring dengan konsep dan nuansa lagu tersebut. Ia membawa hasil gabungan rentak reggaeton, rock dan kesan dramatik yang turut menjurus kepada pengaruh Nusantara.
Lirik lagunya pula lebih kepada mengingatkan diri sendiri untuk sentiasa beringat dan berpada-pada dalam melakukan sesuatu hal.

“Macam saya sendiri, saya banyak menggunakan peringatan ini ketika membuat persembahan. Untuk mendapatkan keadaan sederhana ketika beraksi bersama penari, saya memerlukan ketenangan dan fokus yang jitu.
“Tak kisahlah dalam kehidupan atau apa sahaja perkara, kita perlu ada ketenangan ikut bersama. Dan kalau pada penyampaian menerusi muzik lagu ini sendiri, ia lebih kepada susunan graf momentum muzik,” tambahnya lagi.
Saat ditanya tentang harapan buat karya ini, Stacy hanya mahukan yang terbaik daripada peminat dan pendengar.
“Semoga lagu ini mendapat tempat di halwa pendengar terutama sekali para pengikut dan penyokong muzik Stacy. Lagu Menyala berbeza dengan lagu-lagu saya yang ada sebelum ini namun masih tetap atas landasan muzik Stacy.
“Semoga lagu Menyala turut dapat mewarnai industri muzik tempatan,” ujar Stacy menutup bicara.
Menyala merupakan kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records dan Rhythm & Rhyme Entertainment yang sudah berada di semua platform digital.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

