IMPIAN penyanyi Elizabeth Tan untuk muncul dengan single baharu terpaksa ditangguhkan selagi konflik bersama syarikat rakaman, Warner Music belum selesai.
Dakwa Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, kontraknya telah tamat sejak Februari lalu namun sehingga saat ini dia masih belum menerima surat hitam putih tanda pengesahan.
Kata Lizzy, Warner Music masih berdiam diri walaupun perjanjian kontrak sebagai artis rakaman selama tiga tahun telah tamat.
“Secara teknikalnya, kontrak saya sudah berakhir pada Februari lalu, tetapi Warner Music masih berdiam diri.
“Saya dah hantar surat tanda untuk keluar daripada syarikat terbabit pada Januari lalu.
“Disebabkan tiada sebarang tindakan, saya terpaksa menggunakan khidmat guaman sebagai jalan untuk selesaikan isu ini. Namun, pihak mereka tidak membalas surat tersebut.
“Selagi tiada surat pengesahan hitam putih mengenai kontrak yang sudah berakhir, saya terpaksa tangguhkan dulu hasrat untuk keluar single baharu,” katanya kepada URTV.
Mengikut perancangan, penyanyi lagu Knock Knock itu sepatutnya akan melancarkan karya baharunya pada penghujung tahun ini.
Lizzy ditemui pada sidang media Gerak Khas Undercover yang diadakan secara maya.
Oleh kerana itu, Lizzy, 28, kini mengalihkan fokusnya kepada bidang lakonan yang kini sudah sebati dengan jiwanya.
Memegang watak sebagai Inspektor polis yang menjalankan tugas ‘undercover’, Lizzy akui banyak mengalami kecederaan sewaktu melakonkan babak aksi.

Meskipun mengalami lebam di bahagian badan dan kuku kaki tercabut, namun Lizzy berpuas hati apabila dapat melakonkan sendiri adegan lasak tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.
“Saya teruja berlakon dalam Gerak Khas Undercover kerana berpeluang bergandingan dengan nama-nama besar seperti Datuk Rosyam Nor , Erra Fazira dan Datuk Aaron Aziz.
“Banyak ilmu yang dikongsikan kepada saya sepanjang penggambaran.
“Suami saya juga banyak memberi kata-kata semangat walaupun dia tahu banyak kesan lebam di badan saya,” katanya.
Drama kepolisan terbitan Skop Productions Sdn,Bhd., itu bakal menemui penonton Jumaat ini, pukul 10.30 malam di TV3.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

