DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun mahkamah syariah di Malaysia mempunyai bidang kuasa yang eksklusif dan tersendiri di setiap negeri, namun ia bukanlah penghalang bagi institusi ini bergerak secara bersama atas semangat Keluarga Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran beliau meletakkan kepentingan masyarakat dan rakyat di tempat yang utama.
Katanya, Keluarga Malaysia akan saling bertolak ansur, mengalakkan persefahaman, bekerjasama untuk kebaikan, mengelakkan konflik yang merosakkan dan memfokus kepada persamaan matlamat.
“Saya berharap agar para pegawai syariah sentiasa menghayati semangat kekeluargaan ini serta tanggungjawab bagi memastikan hukum syarak dilaksanakan dengan adil dan saksama dengan meletakkan standard yang tinggi dalam melaksanakan usaha keadilan Islam.
“Kita bertanggungjawab kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk memastikan amanah pentadbiran undang-undang Islam di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa 2021 (PKA 2021) hari ini.
Ismail Sabri dalam pada itu menyarankan agar institusi kehakiman syariah khususnya di Malaysia untuk terus proaktif dalam meneroka norma perkhidmatan baru yang lebih efektif.
“Ini termasuklah memanfaatkan teknologi komunikasi jarak jauh dalam penyampaian perkhidmatan di mahkamah-mahkamah syariah,” jelasnya.
Sementara itu kata Ismail Sabri, hakim syarie dan pegawai syariah perlu mengamalkan sikap integriti yang tinggi dan sentiasa dalam keadaan yang tenang dalam membuat sesuatu keputusan atau melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
Menurut Perdana Menteri, beliau sedar bahawa tugas dan tanggungjawab para hakim syarie dan pegawai syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan agama Islam.
Katanya, walau bagaimanapun, mereka hendaklah menyempurnakan tugas-tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar dan ikhlas.
“Nasihat saya kepada semua hakim syarie dan pegawai syariah seluruh Malaysia hendaklah merapatkan saf dan bersama-sama dengan kepimpinan semasa dalam mencapai usaha-usaha bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah di negara ini.
“Sifat kebersamaan dan nilai musyawarah inilah merupakan tunjang bagi prinsip kekeluargaan yang saya hasratkan dan bersama-samalah untuk kita menzahirkannya di dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

