Coklat Ben Ali, Nadiyah Shahab kini di Mid Valley Megamall

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SELEPAS tiga tahun beroperasi dalam talian, jenama popular Absolut Chocolat kini memiliki cawangan stor fizikal pertama di pusat beli belah terkemuka, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Kios berkenaan menjadi bukti kelangsungan jenama yang dimiliki anak tempatan berbangsa Melayu bersaing secara sihat dan berdiri sebaris dengan jenama besar lain di pasar raya terkemuka negara.

Jenama berdaftar di bawah Absolut Brands Sdn Bhd sejak 18 Februari 2018 itu diusahakan pasangan suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab.

Ben selaku Pengarah Urusan syarikat berkenaan berkata, tujuan utama memasuki pasaran ‘offline’ dengan menyasarkan kesemua pasar raya terkemuka sekitar Lembah Klang itu sebagai strategi keluar dari zon selesa.

“Ini kerana sektor ‘offline’ terutamanya di dalam pasar raya mega ini didominasi oleh bangsa lain selain Melayu. Lantas ia menjadikan faktor ini sebagai satu cabaran dan batu loncatan kepada kami untuk terus maju kehadapan melalui visi dan misi yang diperjuangkan.

“Walaupun laluan itu tidak mudah bagi sebuah jenama yang dikirakan baru untuk pasaran ‘offline’ seperti kami, saya optimis. Usaha ini juga sebagai langkah permulaan bagi kami untuk membawa nama Absolut Chocolat tidak hanya di Malaysia, bahkan di serata dunia,” katanya.

Tambah Ben atau nama penuhnya, Nur Ali Nadzwan, jenama yang baru menerima pengiktirafan oleh Superbrand International dengan menjadi salah satu jenama yang membawa gelaran ‘Superbrand’ di Malaysia itu juga cuba melawan arus.

“Antara sebab lain kenapa kami melebarkan cabang peniagaan ke sektor luar talian (offline) ini selepas melihat kesan pandemik COVID-19 yang menggegar dunia. Khususnya kepada peniaga offline yang paling terkesan dan terpaksa menutup kedai selama berbulan bulan kerana terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa.

“Di saat banyak perniagaan offline mahu bertukar ke online, kami pula mengambil langkah sebaliknya. Usaha itu juga sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku pada dunia dalam talian.

“Sekurang-kurangnya kami mempunyai sandaran perniagaan offline. Siapa pun tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti, dunia perlu menutup operasi ekonomi secara menyeluruh,” ujarnya.

Antara menu yang ditawarkan buat para pelanggan yang ingin merasai keenakan Absolut Chocolat

Usaha menembusi pasaran luar talian dengan memilih lokasi pertama pusat beli-belah itu turut didorongi pelbagai faktor termasuk mahu ia diterima semua lapisan masyarakat.

“Salah satunya, kerana pusat beli-belah itu memiliki faktor demografik yang lebih seimbang. Selama ini, 85 peratus daripada pelanggan kami di kalangan orang berbangsa Melayu. Namun kami percaya bahawa perniagaan berasaskan Food and Beverage (F&B) ini untuk semua kaum.

“Jadi kami memilih pusat belah itu juga kerana 50 peratus pengunjungnya di kalangan kaum Cina. Lucunya, menerusi bancian kami lakukan selepas dua minggu beroperasi di situ, pelanggan menyangka jenama kami dari Korea. Malah golongan berbangsa Cina tidak pernah mendengar jenama kami,” ujarnya.

Sementara itu, Nadiyah selaku Ketua Pengarah Eksekutif pula berkata, empat lagi kios fizikal di pusat beli-belah lain sedang dirancang kemasukannya dalam tahun ini.

“Apabila memasuki Mid Valley, kami mula mendapat pelawaan daripada beberapa pusat beli-belah utama lain.

“Seiring dengan apa yang dirancang, kami akan membuka empat lagi cawangan kios di Pavilion KL, Sunway Pyramid, IOI Mall Putrajaya dan Sunway Velocity bermula dari Oktober sehingga Disember 2021.

“Dan kami dijangka akan membuka lima cawangan kios lagi di Lembah Klang sebelum April tahun depan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 cawangan bagi suku pertama 2022,” katanya.

Dalam pada itu, jenama ini beroleh rezeki dan terus mampu bertahan meneruskan survival perniagaan di musim pandemik.

“Pada tahun lalu, syukur perniagaan kami tidak terkesan kerana fasa sekatan pergerakan perjalanan pertama menyaksikan kebanyakan masyarakat banyak berbelanja di sektor online. Sekaligus ia menyebabkan kami mencatat hasil jualan yang tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Namun bagi tahun ini pula, aliran perbelanjaan masyarakat dilihat agak sedikit perlahan. Mungkin disebabkan oleh faktor mahu berjimat cermat apabila sudah memasuki fasa Pelan Pemulihan Negara. Kami sejujurnya sedikit terkesan,” jelasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Demi masa depan, Kim K ketepikan ego, sanggup beratur panjang uji bakat Suria Records

SEMANGAT kental peserta program realiti Talk To My Manager musim kedua, Kim K dalam mengejar impian sebagai anak seni...

More Articles Like This