Dulu operasi bisnes di pondok rehat, kini pasangan selebriti Ben Ali dan Nadiyah Shahab miliki kilang sendiri

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

Tidak salah bermimpi dan bercita cita besar kerana setiap kepayahan serta ujian pasti ada pengakhiran yang indah.

Siapa menyangka hanya bermula dari pondok rehat yang terletak di perumahan awam Sri Sabah, Cheras, Selangor dan kini perniagaan Absolut Chocolat mampu memiliki kilang sendiri di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor.

Kilang berkenaan di bawah nama Absolut Brands Sdn. Bhd. berkeluasan 14,000 kaki persegi itu selain menjalankan operasi perniagaan Absolut Chocolat, turut memayungi dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management.

Diusahakan oleh pelakon Ben Ali yang juga selaku Pengarah Urusan syarikat berkata, bukan mudah untuk dia kekal berada di tahap sekarang.

“Saya mengemudi perniagaan ini bersama isteri, Nadiyah Shahab. Kami berdua melalui suka duka, turun naik. Tapi semua itu jadi kenangan dan pengalaman berharga.

“Bayangkan di pondok rehat perumahan awam itu segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak beserta sos. Sukar dibayangkan memori itu, namun rezeki tak pernah salah alamat.

“Pendek kata macam-macam lagilah kerja yang saya dan isteri buat. Malah pada awal perniagaan dulu, kami pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya.

PONDOK inilah yang menjadi saksi kegigihan Ben dan Nadiyah dalam perniagaan

Menurut Ben atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, 30, selepas dua tiga hari ‘menumpang’ pondok berkenaan, mereka kemudiannya berpindah ke khemah menjual air kelapa yang juga terletak di Cheras.

“Selepas dua hingga tiga minggu menumpang di khemah itu, kami menyewa pula suku lot berdekatan LRT Cheras.

“Dalam tahun 2018, memang kami kerap berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain. Kemudian kami bertukar ke Medan Connaught Cheras pada penghujung tahun yang sama. Kami menyewa satu lot premis yang dibahagi kepada dua bahagian.

“Bahagian depan dijadikan pejabat, manakala belakang pula sebagai tempat pembungkusan kek dan penghantaran. Apabila perniagaan semakin berkembang, kami menyewa pula satu lagi lot di bahagian bawah bangunan sama. Ketika itu lot atas dijadikan ruang pejabat dan bawah pula urusan kerja,” ujar Ben lagi.

Sementara itu, Ben bersyukur perniagaan yang berasaskan F&B (Food and Beverages) dan dalam talian itu masih ‘bernafas’ ketika pandemik COVID-19 melanda sejak Mac tahun lalu.

“Kami hantar ke rumah dan pembeli hanya menempah dalam talian untuk menikmati apa yang ditawarkan. Harga kek kami dengan pelbagai perisa juga kekal dengan harga mampu milik iaitu sekitar RM69 ke RM79.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu kami menambah lagi tiga lot kedai. Ia menjadikan kesemuanya kini lima lot di Medan Connaught. Kami akan meneruskan operasi di lot sedia ada buat sementara waktu.

“Ketika ini kilang hanya menempatkan bahagian pengurusan dahulu. Dengan izin Allah, kami juga dapat membeli van pertama pada tahun lepas dan baru-baru ini, kami telah membeli lori pula bagi melancarkan urusan kerja,” kongsinya yang bakal menyambut ulang tahun ketiga jenama yang dibina itu pada 18 Februari depan.

Jelas Ben lagi, bukan mudah sebenarnya untuk dia menyakinkan kepada pembeli mengenai kek telur masin keluarannya dan ia juga tidak lari daripada menerima kecaman orang ramai yang masih belum menerima keunikan perisa kek itu.

“Kami juga terbuka dan mencabar diri untuk bereksprimen dengan benda baru. Susah sebenarnya nak kekal relevan dan mengeluarkan produk unik dan lain daripada yang lain. Macam sewaktu kami membuat kek telur masin yang pertama di Malaysia juga awalnya menimbulkan reaksi negatif.

“Ada yang tak boleh menerimanya dan menganggap sebagai pelik kerana selalu telur masin dimakan dengan nasi. Tapi kita melawan arus dengan menghadirkan kek perisa berkenaan. Memang kena kecam teruk juga pada awalnya. Tapi sekarang orang sudah mula menerimanya dan wujud aliran sama di kalangan pesaing,” katanya

PASANGAN ini ingin memasarkan produk ke peringkat antarabangsa

Ben menambah, dia berharap tahun 2021 yang penuh mencabar ini akan terus memberi sinar kepada jenama perniagaannya.

“Banyak lagi yang ingin kami kecapi. Cita-cita kami sendiri mahu membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa.

“Kami takkan berada di sini tanpa sokongan pelanggan tersayang. Terima kasih kerana terus setia menyokong kami hingga kini,” ulasnya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This