SEJAK menceburi kerjaya lakonan, bekas peserta Hero Remaja 2020, Meerqeen semakin dikenali ramai.
Malah, Meerqeen atau Shahmeer Shauqeen Saiful Izam,20, tanpa berselindung turut mengakui bekas kekasihnya pernah datang kepadanya ketika dia sedang rancak membina karier seni.
“Sebenarnya saya kurang gemar bercerita tentang kisah hubungan cinta. Tapi apa yang boleh saya katakan, memang ada bekas kekasih datang kembali kepada saya.
“Namun, saya tidak terfikir untuk kembali kepadanya memandangkan fokus saya kini terhadap kerjaya seni,” katanya kepada URTV.
Ujarnya lagi, dia mengambil masa dua tahun untuk ‘move on’ dan melupakan segala tentang kisah cinta sebelum ini.
Akui Merqeen, ketika itu agak sukar untuk dirinya cuba membuang kenangan yang pernah terselit di kotak memorinya.
“Saya pernah bercinta sebanyak tiga kali. Hubungan terakhir ini paling lama bertahan iaitu selama dua tahun.
“Walaupun ketika itu saya berusia 18 tahun, namun saya seorang yang serius dalam bila bercakap soal hubungan cinta.
“Saya bercinta untuk kahwin bukan untuk suka-suka. Bila hubungan cinta putus, saya ambil masa dua tahun untuk ‘move on’ dan merawat kekecewaan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single pertamanya, Menunggu yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Jelas Meerqeen, saat ini dia memfokuskan diri untuk membina kerjaya yang semakin memuncak.
Bercakap soal dunia nyanyian, kata Meerqeen, dia mula meminati muzik sejak kecil. Malah, impian awalnya ingin bergelar penyanyi namun dia akur dan berserah kepada rezeki yang hadir.
“Saya mula menanyi sejak di sekolah lagi. Awalnya saya memasang angan nak jadi penyanyi tetapi siapa sangka rezeki lakonan datang dulu dan menjadi penanda aras untuk saya berada dalam industri seni.
“Bila dah berlakon beberapa drama, saya rasa inilah waktu sesuai untuk saya melancarkan lagu pertama.
“Tujuan saya sebenarnya nak menerokai lebih banyak cabang seni selain mencari pengalaman untuk profil peribadi.
“Saya turut belajar vokal dengan penyanyi Bob Yusof selama dua minggu sebelum sesi rakaman bermula. Ini cara saya untuk menunjukkan keseriusan dalam nyanyian,” jelasnya.
Single Menunggu yang mengisahkan tentang hubungan cinta yang tidak kesampaian itu merupakan ciptaan Aliff Iskandar.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

