SEBANYAK 8,743 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam.
Kadar yang direkodkan hari ini juga merupakan hari ketujuh berturut-turut kes berada di bawah paras 10,000.
Jangkitan COVID-19 mula menurun ke paras empat angka pada hari Ahad lalu dengan 9,066 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pandemik itu telah pun mencecah 2.33 juta.
Bagaimanapun, buat pertama kali, Dr. Noor Hisham tidak berkongsi pecahan penularan kes mengikut negeri seperti hari-hari sebelumnya.
Sebaliknya, kata beliau, maklumat terperinci mengenai kes harian baharu COVID-19 hanya akan dimuat naik ke laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu COVIDNOW.
Baca artikel berkaitan: 9,751 kes baharu, hari keenam berturut-turut bawah 10,000
Kebiasaannya, laman web berkenaan hanya akan mengemas kini data jangkitan COVID-19 menjelang tengah malam.
Sehingga artikel ini ditulis, pecahan mengikut negeri masih belum dikongsi dalam laman web tersebut.
Semalam, sebanyak 9,751 kes telah dilaporkan di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,796 jangkitan.
Ia diikuti Sarawak dengan 1,339 kes; Kelantan (1,052) dan Johor (864 kes).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

