Sebanyak 22.9 juta populasi dewasa menerima vaksin COVID-19 setakat semalam.GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri apabila kadar vaksinasi dewasa mencecah 90 peratus, ramai yang menunggu kadar harian dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Selepas kira-kira dua minggu pengumuman itu dibuat, kini kadar vaksinasi bagi populasi dewasa semakin meningkat dan hanya kurang satu peratus lagi sebelum angka itu mencapai 90 peratus.

Sehingga semalam, sebanyak 89.4 peratus dewasa seluruh negara telah pun melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Sebanyak 45.379 juta dos vaksin COVID-19 telah pun diberikan ke seluruh negara termasuk bagi vaksin dos tunggal, CanSino menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Usaha itu juga telah menyaksikan 21.104 juta individu seluruh negara telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.

Jumlah itu merangkumi 64.6 peratus populasi keseluruhan telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.

Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 24.384 juta individu atau 74.7 peratus keseluruhan penduduk.

Dari segi pemberian harian, jumlah dos bagaimanapun kekal menurun sehingga di bawah paras 200,000 semalam.

Baca artikel berkaitan: Lebih 21 juta lengkap vaksin, kurang 1% lagi capai sasaran

Sebanyak 174,820 dos telah pun diberikan merangkumi 74,199 untuk dos pertama manakala 100,621 bagi suntikan kedua vaksin COVID-19.

JKJAV memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 94.7 peratus.

Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, menurut JKJAV, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 6.912 juta atau 82.1 peratus populasi.

JKJAV memberitahu, ia diikuti liputan 2.356 juta (62.3 peratus populasi) di Johor; 1.908 juta (67.8 peratus populasi) di Sarawak; 1.816 juta (46.5 peratus populasi) di Sabah; dan sebanyak 1.469 juta (58.5 peratus populasi) di Perak.

Menurut JKJAV, Kedah menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 1.224 juta individu melengkapkan dua dos diikuti Pulau Pinang (1.210 juta) dan 941,664 di Pahang.

“Seterusnya, Kelantan berjumlah 908,616; Negeri Sembilan telah mencatatkan 804,844 lengkap dos kedua dan 703,742 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 607,118 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 169,199 di Perlis dan 69,761 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, JKJAV berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.525 juta.

Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.836 juta individu.

Ia diikuti Sabah (2.260 juta); Sarawak (2.097 juta); Perak (1.766 juta) dan Kedah (1.468 juta).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram