[DIKEMASKINI] DIKAITKAN sudah berkahwin dengan seorang ahli politik dan bergelar isteri kedua, pelakon Erra Fazira tampil membuka mulut mengenai isu berkenaan.

Seakan menjawab kontroversi membabitkan dirinya, aktres berusia 47 tahun itu memilih untuk tidak melayan publisiti murahan yang sengaja mengaitkan namanya.

“Ya, yang pasti saya masih ibu tunggal. Kalau tak faham juga, tak tahu nak cakap apa.

“Sudah-sudahlah mainkan cerita fasal status saya. Saya bukan muda lagi nak dibentangkan kisah kahwin dan cinta tak kesampaian. Apa kata berikan perhatian kisah sebegitu dekat artis berpangkat adik lain.

“Lebih manis dan orang tak jelak. Untuk saya, andai ada jodoh di hari muka, tolong doakan yang terbaik dan moga berkekalan hingga ke jannah,” katanya kepada URTV.

Nama Erra hangat diperkatakan netizen apabila didakwa sudah berkahwin dengan seorang VVIP.

Malah Erra sebelum itu ada meninggalkan kapsyen di Instagram miliknya membidas gosip liar membabitkan dirinya.

“Apa…tak habis-habis cerita fasal kahwin ni! Apa-apa pun, manusia suka bercakap, jadi biarkan saja mereka bercakap,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Pelakon drama Gerak Khas Undercover itu turut memuat naik gambar dirinya melakukan aktiviti berbasikal.

“Walaupun penat, tetap teruskan.

Hari minggu yang nyaman…sebelum kecederaan berlaku. Insya-Allah, minggu depan sambung lagi.” tulisnya.

Tahun lalu, Erra terkejut menerima ucapan tahniah selepas entri yang dimuat naik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi tular.

Dr Zulkifli dalam entri yang dimuat naik dalam laman Instagram dan Facebook sekitar November 2020 mengucapkan tahniah kepada wanita bernama Erra Fazira dan suami atas pernikahan yang berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Gara-gara entri itu, ramai peminat menyangka bintang filem Sembilu dan Maria Mariana itu menyembunyikan berita perkahwinannya. Namun, ramai lega selepas melihat gambar yang dikongsi Dr Zulkifli.

Erra bagaimanapun menganggap status yang dimuat naik Dr Zulkfili sebagai usikan dan tidak mengambil hati dengan gurauan berkenaan.

Erra pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali. Aktres itu mendirikan rumah tangga dengan komposer dan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.

Setahun kemudian, Erra berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya. Ikatan perkahwinan Erra dan Emran terlerai selepas tujuh tahun tahun mendirikan rumah tangga.

Erra seterusnya pernah dilihat menjalinkan hubungan dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi, 32, namun perhubungan putus di tengah jalan.

Malah, Erra pernah dikaitkan dengan ahli korporat berusia 40 tahun, namun dinafikannya dan terkejut dengan gosip yang tersebar. Hingga kini, wanita kelahiran Sungai Choh, Rawang itu belum mempunyai teman istimewa.

Pelakon drama Gerak Khas Undercover itu turut memuat naik gambar dirinya melakukan aktiviti berbasikal.

“Hari minggu yang nyaman…sebelum kecederaan berlaku. Insya-Allah, minggu depan sambung lagi.” tulisnya.