Pemimpin UMNO yang hadir ialah Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, manakala PAS pula diwakili Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Idris Ahmad. - Gambar FB Asyraf Wajdi

JIKA sebelum ini Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilihat berkias dalam soal hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) tapi dalam satu wawancara malam tadi Presiden UMNO itu tidak berlapik lagi.

Beliau secara terus terang berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kalau diteliti kenyataan Ahmad Zahid, beliau dengan tegas berkata, ‘’oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK yang pernah diadakan.

‘’Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insha-Allah rakyat memilih parti yang terbaik.’’ Beliau juga bercakap soal khianat mengkhianati yang semua tahu ia ada kaitan dengan tindakan Pas menjadi anggota rasmi kepada Perikatan Nasional (PN).

Menariknya, kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat pada hari yang sama gambar beberapa pemimpin UMNO dan Pas makan bersama di sebuah restoran yang dihadiri oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Walaupun tidak tahu apakah ia sekadar makan-makan biasa atau sedikit sebanyak menyentuh juga soal Muafakat Nasional yang ketika ini semakin tidak menentu memandangkan antara kepemimpinan UMNO dan pemimpin UMO dilihat bertentangan.

Soalnya kenapa tidak ada kenyataan rasmi daripada Ahmad Zahid bahawa tiada lagi kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional? Kenapa hanya berkias dan membuat kenyataan melalui wawancara sahaja? Adakah beliau sendiri teragak-agak kerana tahu ada ditentang oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri?

Ahmad Zahid seharusnya berterus terang. Sebagai Presiden UMNO beliau perlu ada keberanian untuk membuat kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

Atau adakah mungkin hanyalah beliau dan penyokong-penyokongnya sahaja tidak mahu Muafakat Nasional sedangkan pemimpin dan ahli UMNO lain mahu meneruskan hubungan itu kerana tahu ia akan memberi keuntungan politik kepada UMNO seperti mana beberapa keputusan PRK sebelum ini?

Ahmad Zahid tidak harus bernostalgia dengan sejarah silam UMNO kononnya parti itu akan berupaya mencapai kejayaan camerlang dengan turun secara solo dengan mengarak panji-panji Barisan Nasional. Zaman politik berjuang secara bersendirian ini sudah berlalu, apatah lagi kalau parti itu dilihat ‘ada masalah’ dari segi kepemimpinan.

Atas sebab itulah Pas masih terus berusaha mempertahankan Muafakat Nasional, walaupun Ahmad Zahid semakin melihat Pas ‘sebelah mata sahaja’. Ahmad Zahid tidak menghargai kesabaran Pas untuk mempertahankaan Muafakat Nasional kerana beliau marah Pas menjadi anggota Perikatan Nasional.

Bagaimanapun penulis yakin Pas tidak akan bertindak balas kerana Pas mahu berkawan dengan kedua-duanya sama ada dengan UMNO mahupun Bersatu. Misi Pas adalah demi perpaduan ummah. Itu kata Pas…

Namun ada juga yang berkata sebenarnya, majoriti pemimpin dan ahli Pas lebih rela untuk bersama dengan UMNO berbanding Bersatu dalam PRU-15. Pas hanya mahu mengelakkan pertembungan antara parti-parti Melayu sahaja.

Justeru Pas berbuat baik dengan kedua-duanya…UMNO dan Bersatu. Secara tidak langsung ia akan menyelamatkan calon Pas daripada bertembung sama ada dengan calon UMNO dan Bersatu. Bagaimana pula dengan calon UMNO dan Bersatu, apa pendirian Pas.

Pas sudah kata mereka akan menyokong calon penyandang bagi sesuatu kawasan. Kalau itu keputusannya maknanya Pas akan menyokong calon UMNO di 15 kawasan yang ahli Parlimennya berubah angin ke Bersatu selepas PRU-14 lalu. Adakah Bersatu akan merelakannya?

Kenapa Pas mahu menyokong calon penyandang? Kenapa tidak biarkan sahaja UMNO dan Bersatu bertarung sesama sendiri? Kalau macam itu apa ertinya Pas berada dalam Perikatan Nasional, kalau mereka terpaksa menyokong parti lawan yang menentang rakan komponen sendiri atas alasan ‘kerusi penyandang’?

Sebenarnya pendirian Pas dalam soal perjalanan menuju ke PRU-15 agak mengelirukan dan mungkin memeningkan. Ia kerana Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO sudah memberikan kenyataan yang jelas berhubungan Muafakat Nasional, justeru pemimpin Pas pun beranilah membuat kenyataan tegas demi menjaga maruah parti itu.

Tak kan bila seorang Presiden parti sudah menolak sebarang kerjasama, Pas masih lagi terhegeh-hegeh mahu bersama? Pas perlu membuat pendirian jelas, mungkin Pas boleh tegaskan akan bersama Perikatan Nasional tetapi tidak akan bermusuh dengan UMNO. Bagaimana caranya Pas fikirkanlah. Yang pasti Ahmad Zahid tidak mahu Pas.

Mungkin Pas berhujah, pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO mahu terus bersama Muafakat Nasional. Soalnya siapa paling berkuasa, kalau Presiden sudah memberi bayangan sedemikian adakah ada mana-mana pemimpin UMNO berani bersuara?

Kalau ada keberanian, sudah lama mereka akan meminta Ahmad Zahid mengadakan pemilihan parti bagi membolehkan UMNO mempunyai barisan kepemimpinan mantap apabila masuk ke gelanggang pilihan raya? Adakah Ahmad Zahid tidak mantap mengepalai UMNO ke dalam pertarungan itu…semua tahu jawapannya.

Apapun yang pasti Ahmad Zahid katalah apapun pasal Muafakat Nasional, Pas tidak akan ‘terasa hati’ kerana tahu tiada mana-mana parti yang akan menang dengan berjuang sendirian…cuma Ahmad Zahid sahaja yang terus bermimpi. Justeru Pas akan bersama MN dan berjuang bersama PN…siapapun menang parti itu akan untung…Itulah seni politik…