
GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun dipalu mulai Sabtu lalu.
Proses penamaan calon diikuti kempen selama dua minggu akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 10 Julai nanti.
Penentuan parti politik manakah yang akan membentuk kerajaan akan diketahui pada hari pengundian, 11 Julai ini.
Seramai 172 calon daripada pelbagai parti politik ditambah kehadiran calon Bebas bakal bertarung merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun begitu, di sebalik persaingan sengit yang bakal berlangsung, terdapat satu perkembangan yang cukup menarik untuk diperhatikan.
PRN Johor kali ini menyaksikan kemunculan lebih ramai calon yang boleh dikategorikan sebagai muda dalam gelanggang politik negeri itu.
Daripada keseluruhan 172 calon yang bertanding, lebih separuh daripadanya berusia bawah 49 tahun.
Jumlah 97 calon atau 56.40 peratus itu dilihat sangat signifikan.
Jika diperhatikan, seramai sembilan calon yang bertanding pada PRN Johor kali ini berusia antara 21 hingga 29 tahun.
Seramai 38 calon pula berusia 30 hingga 39 manakala 50 calon berada dalam kategori antara 40 hingga 49 tahun yang juga menjadi julat umur terbesar menyertai ‘pesta demokrasi’ ini.
Keperluan transisi kepimpinan
Statistik ini memberikan gambaran bahawa kebanyakan parti politik kini mula menyedari keperluan untuk melakukan transisi kepimpinan secara lebih tersusun dan terancang.
Pada masa sama, ia menunjukkan keyakinan parti-parti terhadap kemampuan generasi baharu untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin masa depan negara.
Hakikatnya, politik Malaysia sejak sekian lama sering dikaitkan dengan dominasi pemimpin berpengalaman yang telah berada dalam arena politik selama berdekad-dekad.
Pengalaman sememangnya penting, namun politik juga memerlukan suntikan idea baharu, pendekatan segar serta kefahaman terhadap kehendak generasi muda yang kini membentuk sebahagian besar pengundi negara.
Atas sebab itu, kehadiran lebih ramai calon muda dalam PRN Johor tidak seharusnya dilihat sekadar memenuhi kuota atau tuntutan semasa semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai usaha melahirkan generasi kepimpinan baharu yang mampu mengambil alih tanggungjawab negara apabila tiba masanya.
Ubah persepsi masyarakat
Malah, kehadiran calon muda juga mampu mengubah persepsi bahawa politik hanya dikuasai kelompok tertentu atau individu yang telah lama berada dalam sistem.
Jurang usia antara calon tertua dan termuda yang mencecah 50 tahun memperlihatkan pertembungan antara pengalaman dan idealisme dalam medan demokrasi Johor.
Calon tertua iaitu Lim Chin Eng berusia 73 tahun daripada Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di kerusi DUN Stulang.
Calon Pakatan Harapan (PH), Danish Rahman yang berusia 23 tahun pula menjadi calon termuda bagi merebut kerusi DUN Johor Lama yang sebelum ini disandang Norlizah Noh daripada Barisan Nasional (BN).
Ia menunjukkan politik Johor kini sedang melalui satu fasa perubahan yang menarik.
Sudah tentu usia bukan ukuran mutlak kepada kemampuan seseorang pemimpin.
Tidak semua calon muda mempunyai kelebihan hanya kerana faktor umur, begitu juga tidak semua pemimpin veteran sudah tidak relevan.
Apa yang penting ialah kemampuan calon memahami masalah rakyat, menawarkan penyelesaian yang realistik serta memiliki integriti dalam menjalankan amanah.
Bagaimanapun, kehadiran lebih ramai calon muda boleh membantu mengubah persepsi bahawa politik hanyalah milik sesetengah individu atau golongan veteran semata-mata.
Setiap pemimpin besar yang ada hari ini juga pernah bermula sebagai muka baharu suatu ketika dahulu.
Mereka diberi peluang untuk belajar, membuat kesilapan dan membina pengalaman.
Proses yang sama perlu diberikan kepada generasi politik masa kini jika negara mahu terus mempunyai barisan kepimpinan yang berkualiti pada masa hadapan.
PRN Johor peluang uji kemampuan calon muda
PRN Johor kali ini dilihat memberi peluang kepada parti-parti politik menguji kemampuan calon muda mereka dalam berhadapan dengan realiti politik sebenar.
Bagi calon yang berjaya memenangi kerusi, ia menjadi langkah pertama dalam perjalanan panjang sebagai pemimpin rakyat.
Bagi yang tewas pula, pengalaman tersebut tetap menjadi bekalan berharga untuk masa depan.
PRN Johor kali ini boleh dianggap lebih daripada sekadar pertandingan merebut kuasa.
Diharapkan PRN Johor ini menjadi titik mula kepada proses transisi kepimpinan politik yang lebih muda dan segar.
Sama ada calon-calon muda itu menang atau kalah pada 11 Julai nanti, hakikat mereka telah diberikan peluang untuk berada di pentas utama politik sudah menjadi satu perkembangan yang positif.
Proses demokrasi di Johor ini mungkin menjadi permulaan kepada sebuah era baharu yang menyaksikan lebih ramai pemimpin muda tampil memikul amanah untuk rakyat dan negara.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

