Kenderaan semakin bertambah menuju keluar dan masuk ke ibu kota selepas Perdana Menteri mengumumkan pergerakan rentas negeri dibenarkan bagi yang lengkap divaksinasi ketika tinjauan UtusanTV di Plaza Tol Gombak. GAMBAR: Abd Razak Aid

TERPAHAT dalam sejarah, pada tahun 627 Maharaja China, T’ai-Tsung daripada Dinasti Tang memancung kepala orang kepercayaannya, Lu Tsu Hang yang enggan menjadi pemerintah wilayah Gio, di utara Vietnam.

“Jika aku ke sana nescaya aku tidak akan pulang,” kata Tsu Hang yang sangat takut kepada wabak (sekarang dinamakan malaria) di wilayah itu kerana mengorbankan nyawa ramai tentera China.

Ketakutan kepada penyakit itu mengatasi rasa gerun Tsu Hang terhadap Maharaja China yang awal-awal lagi sedia ‘mencabut’ nyawanya.

Malaria masih ada hingga sekarang dan pada abad ke-20, ia dianggar mengorbankan hampir 300 juta orang.

Dikisahkan pula dalam Perang Crimea pada 1346, senjata biologi pertama dunia ‘tercipta’ apabila wabak penyakit dijadikan senjata menundukkan lawan.

Tentera Tartar yang menyerang Kota Kaffa mendapati ramai askarnya mati selepas jatuh sakit secara misteri.

Tentera Tartar bertindak menggunakan pelancar untuk melontar mayat rakan rakannya yang menjadi korban wabak ke dalam Kota Kaffa hingga wabak itu merebak dan melumpuhkan semua pihak.

Mereka yang terselamat lari meninggalkan bandar pelabuhan Kaffa. Malangnya mereka sudah dijangkiti wabak hingga penyakit itu merebak ke seluruh Eropah, Eurasia dan utara Afrika.

Dalam masa lima tahun wabak yang digelar Black Death itu mengorbankan 200 juta manusia.

Tiba giliran kita pula diuji virus Covid-19 yang punca sebenar dan ubatnya belum dapat ditemukan. Sejak 2019, seramai 219 juta penduduk dunia dijangkiti Covid -19 dan daripada jumlah itu, 4.55 juta mati.

Malaysia pula sudah mencatat kira-kira 2.3 juta kes jangkitan Covid-19 dengan 27,000 kematian. Seramai 4,696 kanak-kanak menjadi yatim kerana kematian bapa atau ibu.

Ramai antara kita sangat terkesan, sama ada pernah dijangkiti atau mempunyai saudara mara dan kenalan yang maut kerana Covid-19. Kegiatan ekonomi terganggu dan ramai keperitan hilang sumber pendapatan.

Justeru, apabila pada detik hitam itulah orang politik sibuk bercakaran berebut kuasa, rakyat melihatnya penuh bosan dan kecewa.

Ibarat ketika air sungai kering kerana kemarau, segala selut dan kekotoran di dasarnya akan kelihatan. Sikap buruk manusia kadang kala lebih menyerlah dalam suasana kesusahan.

BERITA BERKAITAN Kerajaan tunai janji benarkan rentas negeri/negara demi Keluarga Malaysia

Selepas setahun enam bulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengumuman kebenaran pergerakan merentasi negeri dan luar negara yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahad lalu memberi sinar baru.

Fasa baharu pemulihan ini satu berita amat dinantikan kerana menyambungkan semula hubungan keluarga yang terpisah serta menghidupkan ekonomi, khususnya sektor pelancongan.

Begitupun, kebenaran terkini itu turut merubah landskap melawan Covid-19. Kini sikap dan disiplin diri kitalah yang jadi taruhan. Inilah amanah yang serahkan kepada kita yang belum menang dalam perang menetang wabak ini.

Mampukah kita mengambil sikap berimbang ketika balik kampung, mencium ibu dan bapa, menziarah saudara yang sakit, berkumpul di kenduri doa selamat, berehat di R&R atau makan angin?

Kita sudah biasa dengan ungkapan ‘kalau tak ditangkap tak apa..buat saja’ yang mana boleh memusnah keberkesanan SOP untuk mengawal Covid-19 fasa rentas negeri ini.

Seperti mana kata pemikir Greek, Plato bahawa kemenangan paling besar dan manis bagi manusia ialah apabila dia berjaya ‘menakluk’ dirinya sendiri. Berikan peluang kepada akal untuk menguasai hati.

Kita mesti optimis dan menggunakan peluang rentas negeri ini sebaik mungkin. Untuk itu, kita wajar ambil serius saranan membuat ujian kendiri RTK dari semasa ke semasa bagi mengetahui status kesihatan dengan cepat dan tepat.

Namun kit RTK mesti lebih murah agar ia mampu digunakan secara meluas oleh masyarakat. Mengetahui diri dijangkiti Covid-19 membolehkan kita mendapatkan rawatan awal.

Pengawasan rapi oleh Kementerian Kesihatan terhadap kewujudan varian baru Covid-19 membantu mengenal pasti potensi ancaman di lokasi tertentu agar tindakan boleh cepat diambil.

Masyarakat sedang belajar untuk hidup di samping ancaman Covid-19. Justeru perlu ada strategi komunikasi yang berkesan dan berterusan untuk masyarakat dan menangani gejala fake news berhubung Covid-19.

Satu perkara positif daripada episod Covid-19 ini ialah kita makin peka menjaga kesihatan tatkala dunia kembali berdepan beberapa wabak lama yang dulu sudah pupus.

Di penghujungnya, kita harus tidak patah semangat akibat kemusnahan yang dicipta oleh virus Covid-19. Fitrah manusia sejak dulu membina semula kehidupan dan menemukan penawar agar penderitaan ini hilang terbang bersama sayap masa. – UtusanTV

PENULIS berasal dari Kuantan, Pahang bertugas sebagai wartawan selama 33 tahun untuk akhbar Berita Harian (BH) dan Harian Metro.
Beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Pengarang Eksekutif BH, Ketua Penyunting BH, Pengarang Berita Metro Ahad, Pengarang Sukan BH dan Harian Metro.