Adam Hawa dicampak ke dunia
Jabal Rahmah tempat yang menjadi saksi pertemuan Adam dan Hawa setelah dicampak ke dunia

Adakah manusia mampu hidup kekal abadi, atau paling tidak, hidup lebih lama dari kebiasaan? Persoalan ini sering dilupakan oleh orang-orang yang mengejar kehebatan diri dan kemegahan dunia. Sedangkan Allah telah menjawab soalan ini dengan sejelas-jelasnya dalam surah Ar Rahman, ayat 26-27,

Setiap sesuatu yang di atas muka bumi akan hancur binasa. Dan yang kekal abadi adalah wajah Tuhanmu (Allah) yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan.”

Walaupun begitu, masih ramai juga yang tidak mempedulikan pengajaran ayat tersebut. Mereka mengatakan bahawa ilmu kebal dan ilmu pantang ajal ini wujud dalam Islam. Pengamal ilmu ini memberikan beberapa hujah bahawa ada di kalangan sahabat Rasulullah yang kebal, tidak lut ditikam senjata ketika berperang melawan tentera musuh.

Mereka tidak sedar bahawa itu semua sebenarnya adalah sebahagian dari janji-janji syaitan yang penuh dengan tipu daya. Dalam sejarah Islam, memang terdapat beberapa kisah sahabat yang dikurniakan kelebihan dan karamah.

Antaranya ialah Khalid Al Walid pernah terselamat dari sebarang kecederaan akibat ditetak pedang. Namun, dalam banyak peperangan, beliau turut mengalami kecederaan sehingga beliau berkata,

“Aku telah melihat (mengikuti) seratus peperangan dan tidak ada sejengkal pada badanku kecuali padanya ada tetakan pedang, lontaran anak panah atau cucukan tombak, dan sekarang ini keadaanku sakit mati atas tilam dengan perasaanku, aku mati sebagai seorang pengecut.”

Bukti yang paling jelas untuk menolak kebatilan ini ialah sikap para sahabat Nabi ketika menyertai peperangan. Tidak ada sahabat yang datang kepada Rasulullah minta agar diajarkan ilmu kebal, supaya mereka tidak lut ditikam musuh, supaya mereka dapat pulang dengan selamat.

Rata-rata sahabat meminta Nabi mendoakan agar mereka dikurniakan mati syahid. Ini menggambarkan keberanian dan kekuatan iman para sahabat. Dalam masa yang sama, ia memberi maklum kepada kita bahawa orang-orang yang belajar ilmu kebal ini adalah orang-orang yang penakut dan kurang keyakinan terhadap janji Allah.

Antara azimat yang digunakan untuk menjadi kebal

Kisah al-Harith ad-Dimasyqi

Dalam kitab Majmu’ Fatawa, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mencatatkan sebuah kisah yang terjadi semasa pemerintahan khalifah ‘Abdul Malik bin Marwan. Ada seorang lelaki yang bernama al-Harith ad-Dimasyqi yang mengaku dirinya sebagai nabi. Lelaki ini mempunyai kebolehan luar biasa.

Antaranya ialah dia mampu membuka rantai-rantai besi yang mengikat kakinya, menjadikan batu marmar bertasbih apabila disentuh tangannya, mendakwa dapat melihat kumpulan manusia berjalan dan menunggang kuda terbang di udara. Apabila tentera khalifah berjaya menangkap al-Harith, dia dibawa ke hadapan khalifah untuk dibunuh.

Salah seorang tentera menikamkan tombak ke tubuh al-Harith, namun tombak tersebut tidak berupaya menembusi tubuhnya. Tentera tersebut berasa hairan dan takut. Melihatkan hal itu, maka khalifah berkata,

“Yang demikian berlaku kerana kamu tidak menyebut nama Allah ketika menikamnya.”

Maka tentera itu pun membaca Bismillah dan menikamnya. Saat itu, tombak tersebut berjaya menembusi tubuh al-Harith. Menurut Ibnu Taimiyah, perkara luar biasa tersebut terjadi dengan bantuan syaitan. Apabila dibacakan ayat-ayat pengusir seperti ayat kursi, maka syaitan tersebut akan lari meninggalkan pengamalnya

Pengajaran Kisah Buah Khuldi

Dalam surah Taha ayat 120, Allah menceritakan bagaimana iblis menipu daya Adam dan Hawa melalui akuan bersumpah bahawa sekiranya mereka berdua memakan buah khuldi, nescaya mereka akan hidup lama. Firman Allah,

”Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).”

Akhirnya, janji tersebut bukan sahaja menyebabkan Adam dan Hawa tidak dapat keabadian hidup, malah dimalukan dengan didedahkan bahagian sulit kedua-duanya. Yang lebih malang, Allah S.W.T. murka dan mengeluarkan mereka berdua dari syurga.

Inilah sebenarnya tipu daya syaitan dalam ilmu-ilmu sebegini. Hal yang sama terjadi kepada Dulisman. Keinginan untuk awet muda dan hidup lebih lama menyebabkan dia terjatuh ke dalam perangkap syaitan hingga terpaksa melakukan perkara yang ditegah oleh syara’ dan juga undang-undang. Akhirnya, bukan sahaja ditangkap, malah berdepan dengan hukuman penjara yang berat.

Kesan Beramal Ilmu Kebal

Ilmu kebal dan tangkal kebal sebenarnya akan memberi kesan yang berlawanan dengan tujuan ianya diamal atau dipakai. Ini bermakna, seseorang yang beramal dengan ilmu kebal atau memakai tangkal kebal bukan akan menjadi kebal, tetapi sebaliknya akan menjadi lemah dan mudah dicederakan.

Jika kebal pun, hanya untuk seketika. Ini adalah berdasarkan satu kisah yang berlaku ketika hayat Nabi Muhammad s.a.w. Suatu ketika, Baginda ternampak seorang lelaki memakai gelang tembaga di lengannya. Lalu Baginda bertanya,

“Apakah ini?” Orang itu menjawab, “Tangkal untuk mengatasi badan yang lemah.”

Lalu Baginda SAW bersabda, “Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.

Pelbagai azimat dan tangkal digunakan untuk menjadi kebal

Kes kumpulan perompak yang dikenali sebagai Pak Ee dan Geng Ipol yang ditembak mati pada tahun 2009 adalah antara contoh terbaik. Kumpulan perompak bersenjata ini beramal dengan ilmu kebal serta memakai tangkal kebal.

Mereka sangat percaya bahawa tangkal kebal yang mereka pakai menjadikan mereka tidak akan lut peluru. Namun akhirnya, ahli kumpulan ini mati juga ditembak oleh pihak polis.

Risiko beramal dengan ilmu syaitan ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu seri muka dan seumpamanya akan berdepan dengan gangguan makhluk halus.

Makhluk halus ini menjadi sahabat dan pendamping kepada pengamal melalui amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya. Mungkin semasa hayatnya, tiada apa-apa berlaku.

Tetapi, menjelang akhir hayatnya, terutama ketika sakaratul maut, makhluk halus ini akan datang menagih balasannya. Lebih malang lagi, makhluk ini akan mengganggu keturunan tuannya pula dalam bentuk saka selepas pengamal itu meninggal dunia. Itulah rantaian dendam kesumat iblis kepada Adam dan anak cucunya. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang

___________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare