Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika hadir ke perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Najib Tun Razak memohon untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura selepas bekas presiden UMNO itu diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Najib berkata, memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa tersebut akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi tulang belakangnya, beliau diamanahkan untuk memastikan parti UMNO bergerak secara teratur dan bertindak dengan sewajarnya sewaktu PRN Melaka dan semasa ketiadaan Ahmad Zahid.

“Oleh yang demikian, saya terpaksa menangguhkan perjalanan saya ke Singapura sehingga selepas tamat PRN Melaka pada 20 November ini,” kata Najib menerusi afidavit sokongan tambahan yang difailkan bersama permohonan itu.

Najib, 68, selaku pemohon memfailkan notis usul itu semalam menerusi Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menamakan pendakwa raya selaku responden.

Beliau memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Okt sehingga 22 Nov kepada 25 Okt sehingga 6 Disember ini untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa di Singapura, yang dijangka melahirkan anak kedua pada awal November.

Dalam afidavit sokongan itu Najib berkata pada 18 Oktober lalu, beliau mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasport antarabangsanya bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Bagaimanapun, Najib berkata, selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Rayuan itu, beliau dimaklumkan berkenaan perkembangan PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 Nov dan penamaan calon pada 8 November ini.

Sehubungan itu, katanya perancangan untuk bertolak ke Singapura telah berubah kepada 21 November dan pulang ke Malaysia pada 5 Disember (atau lebih awal dari tarikh tersebut) serta akan memulangkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 6 Disember ini.

BERITA BERKAITAN Selepas Rosmah berjaya, Najib pula tunggu kelulusan permohonan pasport untuk ke Singapura

“Saya telah meletakkan kepercayaan kepada isteri saya, Datin Seri Rosmah Mansor yang akan bertolak ke Singapura terlebih dahulu untuk mengawasi keadaan Nooryana sementara saya masih di Malaysia.

“Saya akan susuli isteri saya sejurus menyelesaikan tanggungjawab saya di sini terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk meminda tarikh berhubung pelepasan sementara pasport antarabangsa anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata pihaknya perlu mendapatkan arahan selanjutnya daripada Peguam Negara berhubung permohonan pindaan itu.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan 26 Okt untuk mendengar permohonan tersebut.

Najib dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Pada 15 Okt lepas, Hakim Mohamed Zaini yang juga mendengar kes Rosmah bagi pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar membenarkan permohonan wanita itu untuk mendapatkan semula pasportnya bagi tujuan sama.

Pasport Rosmah dipulangkan kepadanya pada 15 Oktober dan perlu dikembalikan kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Disember ini. – BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram