PAGI tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkannya berkunjung ke Singapura untuk bersama anak perempuannya yang akan bersalin.
Kini giliran suaminya pula, Datuk Seri Najib Tun Razak menanti keputusan mahkamah selepas beliau turut mengemukakan permohonan yang sama kepada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk tujuan yang sama.
Hal itu disahkan peguam bela Najib, Nur Syahirah Hanapiah, yang memberitahu permohonan tersebut dibuat baru-baru ini.
“Betul,” katanya seperti yang dilaporkan Malaysiakini hari ini sambil berkata Mahkamah Rayuan dijangka mendengar permohonan tersebut Isnin depan.
Dalam keputusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi, Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam bela Rosmah, Jagjit Singh dengan pasport berkenaan mesti diserahkan pada atau sebelum 6 Disember ini.
“Ini dengan syarat pemohon hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara ke Singapura mulai 21 Okt 2021 dan mesti kembali ke Malaysia pada atau sebelum 21 Nov 2021,” kata hakim.
BERITA BERKAITAN Rosmah dapat pelepasan pasport sementara untuk ke Singapura, temani anak hendak bersalin
Kunjungan pasangan suami isteri terbabit ke negara di selatan tanah air itu adalah bagi menemani anak mereka Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi.
Kata Nur Syahirah, pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan berkaitan pasport tersebut ke Mahkamah Rayuan kerana rayuan bagi sabitan kes ahli parlimen Pekan itu sedang dibicarakan di situ.
Bagaimanapun Nur Syahirah tidak mendedahkan tempoh spesifik yang dipohon Najib kepada mahkamah serta tarikh dia dijangka kembali ke Malaysia.
Sementara itu pegawai yang bertugas di Istana Kehakiman mengesahkan permohonan Najib itu akan diadakan di Mahkamah Rayuan pada 18 Oktober ini. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

