Isu tahanan rumah: Najib tarik balik rayuan

Dari Penulis

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik semula rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman dibuatnya sebelum ini bagi mendapatkan perintah menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Dalam notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib berhasrat menarik balik rayuan tersebut.

Tiada alasan dinyatakan berhubung penarikan balik tersebut.

Bagaimanapun, notis tersebut menyatakan rayuan berkenaan ditarik balik tanpa kebenaran untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Pada 14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan merekodkan bahawa notis pemberhentian yang difailkan peguam adalah teratur dan membatalkan notis rayuan Najib.

Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawah tahanan rumah.

Titah adendum tidak dibincang dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

Dalam penghakimannya, Alice memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

Pada 13 Ogos 2025, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya di hadapan hakim baharu selepas menolak permohonan Peguam Negara bagi kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu membabitkan titah adendum.

Titah Adendum dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman terbabit di bawah tahanan rumah.

Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa kesemua untuk mengesah dan mendedahkan kewujudan dokumen itu yang didakwa bertarikh 29 Januari 2024.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This