PELITUP muka harganya hanya beberapa kupang, nak murah lagi boleh beli di online. Yang N95, KF94 pun masih murah dari segelas kopi berjenama.
Namun untuk menjadikan pemakaiannya satu amalan apabila di luar rumah – sesuatu yang tidak ternilai harganya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat sudah dua kali memberi teguran berhubung pengabaian pemakaian pelitup muka.
Kelmarin beliau menegur geng kedai kopi. Katanya, sudah makan pakailah semula pelitup muka dan teruskan berbual.
Hari ini, teman-teman ahli politik pula disebut beliau secara spesifik susulan banyak gambar menunjukkan golongan itu mengabaikan pelitup muka.
“Bukan lagi peringatan agak mesra. Pakai pelitup muka. Terutamanya ahli politik.
“Ramai dan semakin ramai rakan sekerja saya dilihat dalam gambar pada mesyuarat tanpa memakai pelitup muka.
“Banyak ahli politik mempunyai diabetes, hipertension (tekanan darah tinggi) dan mungkin kegemukan,” katanya menerusi Instagram beliau yang ada lebih sejuta pengikut itu.
Memang tepat pada masanya peringatan Khairy memandangkan PRN Melaka semakin hampir dan orang politik pasti mula sibuk dengan urusan parti.
Dan jika ada yang terpengaruh dengan amalan di United Kingdom (UK) – sebagai contoh penonton EPL yang tidak pun memakai pelitup muka kerana stadium open air, awas.
Mask mandatory tiada di UK (kecuali dalam beberapa situasi) tetapi jumlah semasa kes COVID-19 kebelakangan ini amat merisaukan.
Tidak hairanlah Khairy sebagai seorang peminat bola sepak tegar menyeru semua mengambil iktibar situasi semasa di UK.
Apa berlaku di UK?
Dua hari lalu, kes harian COVID-19 melonjak lebih 50,000 dan semalam pun tidak banyak berubah dengan 49,298 kes.
Baca artikel berkaitan: Tidak pakai pelitup muka ditempat awam, komander tentera Singapura dikenakan tindakan disiplin
Dan yang lebih merisaukan apabila kadar kematian akibat COVID-19 kembali kepada tiga angka.
Memetik laporan Sky News, semalam 180 kematian dilaporkan dan tertinggi ialah pada Selasa sebanyak 223 kematian.
Jumlah itu yang tertinggi sejak awal bulan Mac.
Maka, ahli-ahli politik yang sepatutnya menjadi pemimpin rakyat, tunjukkanlah contoh dalam hal pematuhan SOP.
Bermula dengan perkara paling asas, pakai pelitup muka seperti diminta Menteri Kesihatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

