Baru-baru ini, anak tunggal mendiang Paul Walker iaitu Meadow Rain Walker, 22, telah memuat naik satu hantaran di Instagramnya mengumumkan dia sudah pun berkahwin dengan pilihan hatinya, Louis Thornton-Allan.

Menerusi perkongsian tersebut, dia memuat naik sebuah video pendek berwarna hitam putih di sebalik tabir perkahwinannya dengan kapsyen, “We’re Married”.

Menurut laporan International The News, majlis perkahwinan itu turut dihadiri rakan-rakan mendiang ayahnya daripada pelakon filem Fast and Furious.

Apa yang lebih menyentuh hati, Vin mengenakan ‘suit’ biru muda mengiringi Meadow semasa majlis perkahwinan dengan memegang erat tangan Meadow sewaktu berjalan di atas ‘altar’.

Paul bersama Meadow semasa hayatnya

Menceritakan kembali, pasangan ini telah mengikat tali pertunangan dua bulan lalu dan tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan mendirikan rumahtangga.

Terdahulu, Paul merupakan bintang utama dalam filem aksi Fast and Furious yang memegang watak Brian O’Conner telah meninggal dunia pada usia 40 tahun akibat kemalangan jalan raya di Santa Clarita, Selatan California, Amerika Syarikat pada 30 November 2013.

Kematian mengejut Paul itu telah menyebabkan penggambaraan Fast and Furious 7 terpaksa ditangguhkan sementara waktu dan Vin mengakui sukar untuk meneruskan penggambaraan selepas kehilangan sahabat baiknya.

Persahabatan Paul dan Vin sememangnya sudah diketahui sejak membintangi Fast & Furious

Pada ketika itu, Meadow baharu sahaja berusia 15 tahun dan selepas pemergian ayahnya, Vin atau nama sebenarnya Mark Sinclair Vincent, 54, mengambil alih tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan menjaga dan sentiasa ada dalam hidup Meadow.

Untuk info, Meadow merupakan seorang model yang sedang meningkat naik dan dia turut aktif dalam aktiviti kemanusiaan menerusi Yayasan Paul Walker.

Yayasan Paul Walker adalah legasi yang ditinggalkan oleh mendiang ayahnya bertujuan untuk membantu orang yang memerlukan bantuan ketika dalam kesusahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram