PENYANYI rap popular, Joe Flizzow menegur sikap segelintir individu yang gemar memalukan orang lain hanya disebabkan kesalahan tatabahasa dalam bahasa Inggeris.

Ujar Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, biarpun dia fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, namun itu bukan tiket untuk dia memperlekehkan orang lain atau menjadi ‘grammar nazi’ kepada mereka yang melakukan kesilapan ketika berkomunikasi menggunakan bahasa kedua itu.

“Boleh tegur… cuma jangan sampai memalukan orang. Saya yang fasih berbahasa Inggeris masih juga ada melakukan kesilapan.

“Adakalanya pekerja saya juga buat kesilapan dalam bahasa Inggeris. Kalau kesilapan sama berlaku beberapa kali, saya akan panggil pekerja itu dan tegur secara peribadi.

“Saya tegur supaya mereka tidak akan buat kesilapan yang sama lagi pada masa akan datang,” katanya kepada URTV.

Joe berkata demikian ketika sesi sidang media secara maya Start Your English Journey with Joe Flizzow dan aplikasi SOLS Edu yang menawarkan program pembelajaran yang merangkumi kemahiran Asas Bahasa Inggeris Untuk Pekerjaaan (Work Essential English) baru-baru ini.

Sekadar informasi, ‘grammar nazi’ merujuk kepada individu yang mahir berbahasa Inggeris dan suka mengkritik kesalahan tatabahasa orang lain.

Kata pelantun lagi Sampai Jadi itu lagi, dia juga tidak lari melakukan kesilapan dalam penggunaan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi ketika menulis lirik lagu.

Namun, Joe beruntung apabila dia sering mendapat tunjuk ajar daripada ibu dan bapanya yang akan memperbetulkan kesalahan tersebut.

“Saya dibesarkan oleh ibu bapa yang pernah bekerja sebagai penulis. Malah, ibu saya akan selalu memperbetulkan kesalahan bahasa Inggeris saya.

“Saya gemar mendengar lagu hip hop, kadang-kadang struktur bahasa dalam lagu yang saya tulis banyak silap. Jadi, ibu akan tegur tapi saya tak pernah rasa tersinggung,” tuturnya.

Dalam pada itu, menceritakan tentang aplikasi berkenaan, Joe berkata ia telah dibangunkan oleh SOLS Edu yang memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar untuk belajar bahasa Inggeris.

“Terdapat pepatah dalam dunia hip-hop, “Real recognise real“, dan saya mengiktiraf kerja yang telah dilakukan oleh SOLS Edu sepanjang 21 tahun lepas membabitkan 500,000 pelajar di 7 buah negara.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang memberi banyak manfaat kepada semua. Baru-baru ini, saya ada membuat bersiaran langsung (live) Instagrammbersama Tengku Iman dan Alyph dalam bahasa Inggeris.

“Menerusi ruangan komen boleh dikatakan ramai peminat meminta saya berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Insiden itu sedikit sebanyak membuatkan saya sedar mereka ingin belajar bahasa Inggeris.

“Ketika saya bercakap dengan Pengasas-CEO SOLS 24/7, Raj Ridvan Singh, atau Teacher Raj (TR), sebagaimana yang beliau ingin dikenali, menjadi sangat jelas bahawa kami mempunyai matlamat yang sama dalam membantu orang muda mencapai potensi penuh mereka.

“Ketika itu saya tahu bahawa bekerjasama dengan SOLS Edu dalam projek ini dengan memberi tunjuk ajar kepada pelajar menerusi aplikasi SOLS Edu adalah cara terbaik untuk saya menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Joe, aplikasi berkenan turut memberikan akses percuma dan kaedah pembelajaran yang teratur untuk belajar bahasa Inggeris.

SOLS Edu menggunakan tutorial dalam bentuk video dan audio, kaedah suai padan gambar-perkataan, isi tempat kosong, dan latihan berbentuk pilihan jawapan untuk menjadikan proses pembelajaran bahasa Inggeris lebih bersifat pengembaraan interaktif.

“Aplikasi web progresif  ini telah dibangunkan sejak 6 tahun yang lalu dan mempunyai pelbagai versi, sentiasa meletakkan matlamat untuk membantu setiap rakyat Malaysia mampu menguasai Bahasa Inggeris di tempat kerja daripada kemudahan peranti digital mereka,” ungkapnya.