PH muktamad pembahagian kerusi PRN Melaka, akan bincang dengan Muda – Anwar

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PAKATAN Harapan (PH) telah pun memuktamadkan soal pembahagian kerusi antara parti komponen gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal pembahagian kerusi itu melibatkan proses panjang bermula daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) hingga dikemukakan kepada Majlis Presiden.

Menurut Anwar, hasil perbincangan di peringkat akar umbi itu, Majlis Presiden telah pun berbincang dan memuktamadkan dengan DAP kekal bertanding di lapan kerusi DUN Melaka.

Bagi PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) pula, Anwar memaklumkan kedua-dua parti itu memperoleh tambahan tiga kerusi selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi bersama PH.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Amanah akan bertanding di sembilan kerusi manakala PKR meletakkan calon di 11 kerusi.

“Kita juga bincang mengenai pembahagian kerusi Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan PKR dan Amanah kekal dua kerusi manakala DAP akan memperoleh kerusi tradisi di Parlimen Alor Gajah.

“Alor Gajah merupakan kawasan tradisi ditandingi mereka (DAP) sejak awal tetapi diserahkan kepada Bersatu (sebelum ini),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Baca artikel berkaitan: Muda akan letak calon tanding PRN Melaka – Syed Saddiq

Ketika ditanya mengenai kedudukan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mahu bertanding dalam PRN Melaka dan mengadakan perbincangan soal kerusi dengan PH, Anwar memaklumkan perbincangan masih diteruskan.

Presiden Penaja Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRN Melaka.

Syed Saddiq memberitahu, Muda sedang dalam proses rundingan dengan PH berhubung soal pembahagian kerusi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah dibubarkan 4 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ia selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 adalah pada hari Sabtu, 20 November depan.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada Isnin, 8 November manakala hari mengundi awal pada 16 November depan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Wanita ditahan selepas benarkan anak keluar kepala melalui sunroof

SEORANG wanita ditahan selepas membenarkan dua anak perempuannya mengeluarkan kepala melalui bumbung bukaan atau sunroof ketika kereta sedang bergerak,...

More Articles Like This