KENYATAAN kerajaan yang ingin memberikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun menimbulkan kebimbangan buat pasangan selebriti Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia.

Membantah akan keputusan tersebut, Fizz atau Fairuz Zainal Abidin memberi pendapat bahawa vaksin terbabit tidak sesuai diberikan untuk kanak-kanak buat masa ini.

Fizz, 42 berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusan yang dilakukan oleh kerana bimbang akan memberi kesan buruk buat kanak-kanak meskipun kandungan di dalam vaksin telah dikurangkan.

“Pada pendapat saya, belum sesuai kot. Tak perlu kot untuk kanak-kanak. Sebab kesan dia terlalu kuat untuk kanak-kanak.

“Walaupun telah di kurangkan isi kandungan, tetapi tetap memberikan kesan terhadap kanak-kanak.

“Orang dewasa pun tak tahan, inikan pula kanak-kanak. Saya harap kementerian fikir semula lah kot,” luah Fizz di Instagramnya.

Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pemberian vaksin ini selaras dengan syor daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dari Amerika Syarikat yang telah mengesahkan vaksin itu selamat digunakan buat kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

Sementara itu, Almy turut sependapat dengan Fizz yang enggan membiarkan anak mereka dijadikan bahan uji kaji suntikan vaksin tersebut.

“Wahai kerajaan, anak-anak saya bukan bahan uji kaji anda semua ya. Tolong ambil perhatian, cukup kami yang dewasa ini kena vaksin pun sakit.

“Anak-anak saya bukan tempat kerajaan untuk buat uji kaji yer. Kami yang kena cucuk vaksin pun tumbang bagai nak mati.

“Jangan ikut sedap perut saja nak buat anak-anak kecil ini bahan uji kaji. Cukup ramai dah yang mati, takkan nak bagi anak-anak kecil ni mati juga. Maaf, saya sangat-sangat emo bab ni,” tulisnya.

Tambah Almy lagi, sebagai ibu, dia sudah melengkapkan anak-anaknya dengan pelindungan vaksin yang diwajibkan kerajaan.

“Anak-anak saya dah cukup vaksin dari bayi sampai 2 tahun dan sekarang kami ambil vaksin tambahan iaitu Influenza dan macam-macam lagi nak kuatkan antibodi.

“Saya bukan antivaksin… saya ibu mengandung yang dah cukup dua dos suntikan Pfizer awal bulan Ogos. Jadi saya tahu sakitnya macam mana,” katanya.

Tinjauan URTV di ruangan komen turut melihat rata-rata warganet menyokong apa yang diperkatakan oleh Fizz dan Almy serta membantah keputusan memberi vaksin buat kanak-kanak oleh kerana bimbang akan kesan buruknya.