Shahril Hamdan

BAJET 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam dilihat banyak memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan seluruh negara.

Pada masa sama, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat Bajet 2022 turut memberi fokus berkaitan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro.

Kata beliau, tumpuan kepada kedua-dua isu itu dilihat sebagai indikator utama kepada masalah ekonomi apatah lagi ramai dalam kalangan rakyat menganggur dan banyak usahawan serta syarikat sederhana yang tiada aliran tunai.

Bagaimanapun, Shahril berkata, kelancaran pelaksanaan Bajet 2022 merupakan ujian utama bagi memastikan kejayaan belanjawan negara itu.

“Jadi atas kertas, komitmen yang tertera dalam belanjawan ini memberi harapan dua masalah ini dapat ditangani dengan lebih baik daripada sebelumnya terutama sektor ekonomi sudah dibuka.

“Untuk menterjemahkan inisiatif atas kertas, saya harap syarat-syarat dan birokrasi dilonggarkan khususnya dalam pembiayaan PKS mikro dari institusi kewangan pembangunan (DFI) dan agensi kerajaan supaya banyak PKS mikro mendapat manfaat lebih segera,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online.

Baca artikel berkaitan: Bajet 2022: KKMM tumpu program pendigitalan nasional

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, bantuan untuk belia dan mahasiswa juga dialu-alukan terutama berkaitan pemberian peranti percuma kepada lebih 600,000 mahasiswa keluarga berpendapatan rendah (B40).

Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ menyaksikan RM332.1 bilion diperuntukkan – nilai tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.

Sebanyak RM233.5 bilion daripada jumlah itu diperuntukkan bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram