ANALISIS

KEPUTUSAN Pas untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja satu tamparan kepada UMNO tetapi juga pengajaran kepada kepemimpinan parti itu supaya janganlah angkuh atau dilihat angkuh dan berhati-hatilah membuat kenyataan apabila melibatkan kerjasama dengan parti lain.

Beberapa kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ada hubung kaitnya dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi gambaran seolah-olah beliau memandang Pas ‘sebelah mata’.

Atas sebab itulah Ahmad Zahid sering menekankan soal bertanding secara solo dan yakin UMNO serta Barisan Nasional (BN). Dan ia diikuti pula dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang bersetuju bekerjasama dengan Pas tetapi Pas mesti menggunakan lambang sendiri dalam PRN Melaka.

Sementara Pas bagaikan dipaksa mengikut kehendak UMNO, UMNO pula tidak serius untuk memastikan impian Pas mahu menyatukan ummah dan mengelakkan tiga penjuru berlaku di Melaka tercapai.

Penegasan yang diberikan oleh bahagian-bahagian UMNO di Melaka yang menolak kerjasama dengan Bersatu dan sebelum ini kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mengingatkan parti itu tidak masuk ke dalam ‘lubang biawak’ kali kedua menunjukkan UMNO tidak menjaga perasaan Pas dalam soal menyatukan ummah.

Tetapi apa yang anehnya pada masa sama di peringkat pusat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob diberikan tanggungjawab untuk berunding dengan Bersatu dan Pas bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Penulis tertanya-tanya apakah penugasan diberikan kepada Ismail Sabri itu benar-benar ikhlas atau ‘wayang kelas tertinggi’ yang akhirnya akan dijadikan modal bahawa Perdana Menteri tidak berupaya dalam melaksanakan misi yang diberikan.

Kalau tidak, masakan ketua-ketua bahagian di Melaka boleh membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu? Kenapa mereka tidak menunggu dulu apa hasil rundingan Ismail Sabri? Adakah terdapat arahan daripada mana-mana pemimpin supaya mereka membuat kenyataan tersebut?

Dan beberapa jam selepas mereka menolak kerjasama dengan Bersatu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan parti itu untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

Pendirian Pas itu sudah tentulah memberi tamparan hebat kepada UMNO khususnya UMNO Melaka kerana mereka mengharapkan Pas akan bersama dengan syarat menggunakan lambang Pas.

Sebenarnya percaturan atau perhitungan yang dibuat oleh kepemimpinan UMNO yang seolah-olah memandang remeh kekuatan Pas adalah satu kesilapan.

Memang benar, Melaka bukanlah kubu Pas dan dalam PRU-14 lalu, Pas kalah kesemua 14 kerusi yang ditandingi di negeri tersebut, tetapi satu kelebihan yang ada pada Pas yang tidak ada kepada parti-parti lain ialah kekuatan jentera serta kesetiaan ahli-ahlinya.

Dua kelebihan ini sudah pasti sedikit sebanyak akan membantu mana-mana parti yang bekerjasama dengan Pas tetapi dengan syarat mereka mestilah ikhlas, bukannya mahu memperalatkan Pas.

Inilah ditunjukkan oleh Bersatu di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional itu sentiasa berusaha menjaga hati dan perasaan pemimpin dan ahli-ahli Pas.

Walaupun baru-baru ini beliau membuat kenyataan meminta Pas memikirkan semasak-masaknya keputusan dalam soal kerjasama dengan UMNO tetapi beliau bukanlah mendesak atau memberi tekanan, beliau serahkan kepada kepemimpinan Pas membuat keputusan dan beliau serta Bersatu pasti menghormatinya.

Dalam pertemuan penulis dengan pelbagai sumber di Melaka termasuk semalam, ramai pemimpin politik yang ditemui bersetuju bahawa Pas ada kekuatan sendiri dan harus dihormati.

“Tetapi pemimpin UMNO angkuh…mereka yakin sangat kalau bertanding solo, mereka boleh menang sedangkan kalau tiga penjuru, belum tentu lagi,” kata seorang pemimpin parti itu.

Sementara itu, seorang pemimpin Pas di peringkat akar umbi ketika dihubungi berkata, mereka akur dengan keputusan kepemimpinan parti dan ia sebagai isyarat kepada UMNO janganlah angkuh sangat.

“Kita nak satukan ummah, macam Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man cakap, muafakat ni bukan soal nak rebut kerusi pilihan raya sahaja tetapi ada agenda lebih besar.

“Tetapi pemimpin UMNO hanya nak kerusi. Kalau berunding pun dia orang sahaja nak lebih, nak dominan, parti-parti lain kena ikut kehendak dia orang sedangkan sentimen pengundi di Melaka terhadap UMNO sudah berubah,” katanya.

Namun begitu kenyataan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek menarik apabila menegaskan;

“PN dan BN sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi. Sekiranya wujud pertembungan lebih daripada dua penjuru, Pas akan mengambil pendekatan menyokong penyandang kerusi yang dimenangi di DUN berkenaan pada PRU-14,” katanya seperti disiarkan oleh AstroAwani.

Jika begitu pendiriannya sudah pasti kelebihan ada kepada UMNO yang menang 13 kerusi dalam PRU-15 lalu berbanding Bersatu hanya dua kerusi manakala Pas tiada kerusi dimenangi. Adakah Bersatu akan bersetuju dengan pendirian Pas ini?

Persoalannya apakah kesan besar dengan keputusan Pas itu? Sama-sama kita tunggu… yang pastinya pelbagai ‘gejolak’ sedang melanda gelanggang politik Melaka dan paling penting, rakyat Melaka sedang memerhati.